Berpesta dengan Buku

Pesta Buku Antarabangsa datang lagi!
Datang lagi dengan pelbagai tawaran menarik yang akan menggoda hati ini untuk membeli pelbagai buku.
Kali ini saya ke Pesta Buku selama 2 hari. Itupun masih lagi saya rasanya tidak cukup menikmati segala buku yang ada!
Tanggal 29 April hingga 6 Mei, seperti biasa, Pesta Buku dijalankan di PWTC.
Tahun ini dilihat seperti tidak tahun-tahun sebelumnya. Tidak banyak syarikat penerbitan yang turut serta.
Tidak banyak juga hadiah percuma yang diperolehi. Begitu juga diskaun untuk buku. Mungkin kerana kos penerbitan sesebuah buku telah melonjak naik menyebabkan syarikat penerbitan tidak dapat memberikan hadiah percuma kepada pembeli.




Tahun ini hampir RM500 dihabiskan untuk membeli buku-buku untuk disumbat ke Perpustakaan Mini di rumah.
Kunjungan hari pertama ke PWTC pada hari Ahad membuatkan saya lemas di tengah-tengah lautan manusia. Tidak nikmat langsung!
Walaupun saya tiba seawal jam 10 pagi, PWTC telah dipenuhi oleh pengunjung dari pelbagai peringkat umur.
Perhimpunan BERSIH yang diadakan pada hari Sabtu juga menjadi penyumbang kepada kesasakan pengunjung pada hari Ahad.




Saya datang lagi pada hari Jumaat. Saya bersyukur kerana saya dapat bersua dengan beberapa penulis pada hari tersebut.
Mula-mula saya bertemu dengan Ustaz Zahazan di gerai Telaga Biru yang sedang mempromosikan beberapa buku dan majalah terbitan syarikat tersebut. Beliau memaklumkan bahawa pada setiap hari beliau akan membaca hampir 3 buah buku sebelum tidur.
Jadi, tidak hairanlah setiap subuh sewaktu mendengar slot beliau di IKIM.fm, pelbagai jenis buku disebutnya sebagai rujukan kepada hujah-hujahnya.





Kemudian terserempak pula dengan Dr. Feisal Tehrani. dengan kadar segera saya ke gerai Institut Terjemahan dan Buku Malaysia untuk mendengar Wawancara Sofa Putih bersama Feisal Tehrani. Feisal Tehrani yang hadir untuk mempromosikan buku barunya iaitu Perempuan Nan Bercinta. pelbagai soalan diutarakan kepada beliau berkenaan dengan gaya penulisan beliau yang dianggap sebagai provokasi. Namun apa yang menarik tentang buku-buku Feisal Tehrani ialah beliau berani untuk memberi teguran sinis dalam penulisan beliau. Wawancara bersama beliau langsung tidak membuatkan saya penat walaupun berdiri hampir satu jam.





Sebelum pulang saya singgap di Kedai Pink Ain Maisarah yang serba pink. Pada Ahad yang lepas, seawal 10 pagi pengunjung sudah mula menyerbu gerai tersebut. Alhamdulillah, hari Jumaat yang barakah, Allah swt memberikan saya peluang bertemu dengan penulis muda ini. sangat terharu apabila AIn Maisarah masih mengingati nama saya dan memanggil saya semasa beliau dikerumuni oleh peminat.






Bertemu pula dengan bekas pelajar saya yang sedang menuntut di Maahad Tahfiz Negeri Pahang.


Seronok! Semoga bertemu lagi tahun depan.

0 comments:

Post a Comment


up