Kali ke-3 di Kota Singa

Assalammualaikum wbt,

Cuti kali ini kami ke 2 buah negara yang bersebelahan dengan Malaysia.
Tiada pesawat digunakan dalam aktiviti libur kami kali ini.
Percutian dimulakan di Johor. Kami tidur di Hotel Silka, Plentong untuk 3 hari 2 malam.
Hari pertama kami ke Legoland dan hari kedua kami merancang untuk ke Kota Singa.
Ini merupakan kali ke-3 saya ke SIngapura. Pada kali pertama saya menaiki pesawat, kali kedua menaiki bus Five Star melalui link kedua dan kali ini kami memilih untuk menaiki bus melalui Tambak Johor.
Dari Hotel Silka, kami menaiki bus ke Johor Bharu Central ataupun Johor Bharu Checkpoint dengan harga RM2.40. 
Kami hanya merancang untuk balik hari sahaja. 
Kami tiba di Johor Bharu Checkpoint pada pukul 10.30 pagi. Selepas melalui Imegresen, kami beratur untuk menaiki bas ke Singapura pula. 
Untuk ke Singapura, kami mengambil bas ke Stesen Kranji MRT dengan kadar bayaran RM1. Wang Malaysia masih boleh digunakan untuk menaiki bas ini. Jika anda mahu menaiki bas ini silalah bersedia untuk berhimpit dan berdiri dengan kadar lebih kurang 1 jam jika Tambak Johor sesak. 
Tiba di Woodlands, kami diminta turun untuk melalui Imegresen Singapura. Selepas itu, kami perlu beratur kembali untuk menaiki bas tadi dengan menunjukkan tiket bas.
Setibanya di MRT Kranji, peta laluan MRT perlu difahami. Sistem MRT di Singapura sangat bagus dan cekap jadi kami perlu khuatir tentang sesat! Bahasa Melayu masih digunakan di papan-papan tanda.
 Kami mengambil MRT ke Esplanade untuk ke Suntec City Mall. 










Kali ini, kami ingin melihat bandar Singapura dengan mengambil pakej City Sightseeing Singapore
Pakej ini membolehkan kami mengelilingi Kota Singa dengan menaiki bus dan juga bot.
Bagi saya pakej ini sangat berbaloi! Dengan harga SD 33 (RM79.20), kami boleh menaiki 3 jenis bas dan bot secara unlimited selama 24 jam.
Anda boleh menetahui lebih lanjut di link : City Sightseeing Singapore
Terdapat 3 bus yang boleh dinaiki iaitu The Heritage Route Bus, The Original Tour Bus dan The City Route Bus.


Setelah membeli tiket, kami mula mengambil bus berwarna merah untuk The City Route. 
Singapura sangat bersih! Sukar untuk melihat sampah di sini. Kami dibawa melalui jalan-jalan di Singapura.






 Masih terdapat bangunan yang bersejarah di sini walaupun bangunan tinggi dan hebat mengelilingi bandar ini. Setiap bangunan dan jalan diuruskan dengan baik. Tiada cat yang buruk. Semuanya elok-elok belaka.
Melalui Arab Street, anda dapat melihat satu-satunya Istana Melayu di sini, bangunan lama Sekolah Arab al-Sagoff dan Masjid Singapura. 





Memandangkan cuaca masih cerah, kami mahu menyelusuri Marina Bay dengan menaiki HiPPO River Cruise. Kami turun di Boat Quay.


Kami dapat melihat Marina Bay yang dikelilingi dengan bangunan-bangunan yang hebat!




Paling seronok bertemu dengan Zo Cards! Poskad PERCUMA!!!! Saya memang balun banyak juga poskad kat sini. 


 Kemudian, kami menaiki basThe Heritage Route untuk berhenti di Chinatown bagi menziarahi Masjid Jamek dan solat Jama' di sana. Masjid ini merupakan antara bangunan paling tertua di Singapura. Maaf ye tiada sebarang gambar disebabkan hujan yang lebat melarang saya untuk mengambil gambar.
Selepas usai solat, kami berjalan-jalan di Chinatown. Terdapat beberapa muzium yang terletak di sini dan antaranya ialah Coins and Notes Museum. Ohhhh....bertemu dengan dut paling besar didunia!!! Ahaks...


 Di Chinatown juga anda dapat memasuki Tintin Shop. Saya sekadar melihat-lihat disebabkan harganya diluar kemampuan saya. Sekeping poskad saya berharga hampir RM10. Jika anda mahu mebeli cenderamat untuk dibawa pulang, Chinatown menawarkan pelbagai barangan seperti key-chain, magnet fridge, t-shirt dan tidak dilupakan poskad! Heheheheh....ya poskad!



Anda perlu mengelilingi Chinatown sebelum membeli sesuatu barang kerana anda mungkin menjumpai harga yang lebih murah. Saya dapat membeli 12 magnet fridge dengan harga SD10. Poskad pula 6 keping dengan harga SD2. Jangan diingat SD1 it murah! SD1 bersamaan dengan RM2.40.

Disebabkan hari tersebut hari Sabtu, saya tidak dapat ke Pejabat Pos Singapura untuk mengirim poskad kepada diri sendiri dan sahabat saya Goh Yin Lee. Saya juga tidak sempat singgah di Muzium Filateli Singapura. 

Kami banyak menghabiskan masa di Chinatown. Seterusnya kami menaiki MRT Chinatown untuk ke MRT Kranji untuk pulang ke Malaysia. Dari stesen MRT Kranji, anda perlu menyediakan SD1.30 untuk menaiki bas ke Johor Bharu.

Tamatlah sudah perjalanan kami di Singapura. Kami akan datang ke Singapura lagi kelak!
Tentang makanan pula, kebanyakkan fast food di Singapura mempunyai label HALALtetapi harganya sememangnya mahal. Saya melihat satu set lunch Mc Donalds berharga SD4.50 (sila darab dengan 2.40) berbanding di Malaysia hanya bermula dari RM4.50. Kami membawa bekal kami sendiri bagi menjimatkan kos. Kami seramai 4 orang hanya menukar wang sebanyak SD 200 sahaja dan ianya lebih daripada cukup untuk kos 4 orang! 

Libur di Pulau Batam

Assalammualaikum wbt.

Sungguh lama tidak menyinggah di blog sendiri. XD
Selepas tamat menjadi Pengawas untuk Peperiksaan SPM, saya mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan   bagi menambahkan pengalaman kami.
Sudah lama Encik Suami ingin melihat Pulau Batam. Saya pernah terbaca bahawa Pulau Batam merupakan antara bandar yang paling terpesat membangun di Indonesia. 
Kami ke Pulau Batam pada 16-18 Disember 2012.
Perancangan kali ini dibuat pada saat terakhir. Kebetulan kami ke Johor dan dikala ini kami mengambil kesempatan untuk ke Singapura melalui Tambak Johor dan ke Pulau Batam melalui jalan air.
Bagi menaiki kapal ke Pulau Batam tidaklah sukar. Kapal perlu dinaiki di The Zone yang terletak di Stulang Laut, berdekatan dengan Check Point untuk ke Woodlands Singapura. 

Kami ada bertanya dengan beberapa orang semasa menginap di Hotel Silka tentang perjalanan ke Pulau Batam. Mereka mencadangkan agar kami memakir kereta di hadapan deretan kedai yang berwarna biru yang tidak akan dikenakan apa-apa bayaran. Jika dibandingkan anda memakir kereta di The Zone, bayaran bagi lebih dari satu hari lebih kurang RM55. 

Terdapat juga opsyen lain yang boleh anda gunakan. Iaitu dengan menggunakan perkhidmatan teksi.
Jangan lupa buku merah anda! Pastikan tarikh pelepasan anda 6 bulan sebelum tarikh tamat.


Sela masa bagi setiap kapal ke Pulau Batam ialah selama 1 jam. Kami berjaya menaiki kapal pada pukul 1.30 tengah hari. Melangkah masuk ke kawasan membeli tiket kapal di The Zone, seolah-olah seperti menaiki pesawat!



Harga bagi perjalanan dua hala (Stulang Laut-Pulau Batam) ialah RM125. Tetapi harus diingatkan bahawa ini bukan tambang sepenuhnya! Semasa pulang, kami dikenakan pelbagai bayaran wajib! Bayaran untuk Confirm Ticket dan Tax! Perkara ini tidak dimaklumkan di Malaysia. Tetapi kami terkejut dengan bayaran ini semasa di Indonesia sebelum pulang. Harus disediakan sejumlah wang Rp 110 000. 


Saya amat memuji kapalnya! ohhhhhhhh...sangat selesa bagi perjalanan hampir 2 jam! Kami juga disajikan dengan tayangan filem yang tepat 2jam siarannya! Pekerja kapal juga amat segak sekali seakan-akan kapten kapal terbang yang berbaju putih! Didalam kapal, anda boleh membeli maggie cup yang berharga Rp 10 000 atau RM3. 


Setibanya di Batam Central, jam harus diubah satu jam lewat dari waktu Malaysia.


Dari Batam Central, kami menaiki teksi dengan harga Rp50 000 untuk ke Nagoya.
Serius dalam kepada saya membayangkan Pulau Batam ini keadaannya seperti di Bandung dan Jakarta. Terpaksa berhadapan dengan pelbagai jurujual yang mengelilingi kami, terpaksa menempuh macet (traffic jam) dan terpaksa menyelusuri jalan-jalan yang penuh dengan sampah sarap. 
Ohhh...sememangnya bayangan saya ini amat dan teramat salah!
Batam merupakan tempat yang bersih dan tiada jurujual yang melemaskan! 

Hari pertama kami ke Pusat Membeli Belah yang terkenal di Batam iaitu Nagoya Hill Megamall.
Ermmm....namun tiada apa yang menarik. =(
Tentang isu makanan pula tidak boleh dipandang enteng. Kehalalan perlu diambil kira dan perlu ditanya. 
Sebelum saya tiba di Batam, saya membaca akhbar Indonesia di dalam kapal yang melaporkan terdapat peniaga yang menggunakan daging babi bagi mengantikan daging lembu bagi membuat bakso.
Jadi, setiap kali masuk ke tempat makan, kami perlu memastikan label halal dipamerkan!
Apa yang menarik di Nagoya hanyalah Chicken Chop yang hanya berharga Rp 10 000 (RM3) sahaja!
Ohh..jika datang ke Nagoya, rugi jika tidak membeli Kek Buah Naga yang sedap! 



Kemudian kami ke Pusat Mengurut! Serius anda rugi jika tigak mencuba urutan di sini. Harganya amat murah dan berbaloi-baloi! 2 jam urutan satu badan hanyalah Rp 100 000 (RM33) sahaja. Terdapat bilik yang berasingan bagi lelaki dan perempuan dan tukang urutnya juga terdapat lelaki dan perempuan. Saya mengambil peluang ini memandangkan harga di Malaysia jauh lebih mahal! Urutan selama 2 hari sememangnya sungguh meringankan badan!
Lagi seronok apabila berborak dengan Orang Melayu. Percakapannya seperti Orang Melayu di Malaysia kerana susur galurnya sama. Pulau Batam juga merupakan antara Kepulauan Riau ataupun Kepulauan Melayu.


Kemudian kami menjamah makanan pada lewat malam. Ikan bakar yang amat fresh dan murah!
5 orang makan dengan setiap orang menjamah seekor ikan lebam dengan kos Rp 279 000 sahaja!
Saya telah jatuh hati dengan Teh Botol! Bawak balik Malaysia beberapa botol! 


Tentang supir (pemandu teksi) pula, Alhamdulillah, Tante yang merupakan tukang urut di Pusat Mengurut yang disinggah kami membantu kami untuk mendapatkan supir yang lebih murah. Sewaktu mendarat, rata-rata supir meminta Rp 400 000 untuk di bawa berjalan-jalan di Bandar Batam dan juga di luar Batam. Tetapi atas bantuan Tante, kami memperolehi supir bagi satu hari perjalanan dengan harga Rp 250 000 sahaja. 



Tidak banyak tempat wisata (pelancongan) yang boleh dilawati di sini. Tetapi yang menarik perhatian saya di Batam ialah Jambatan Balerang yang merupakan jambatan yang menghubungkan 6 pulau iaitu Pulau Batam, Pulau Tonton, Pulau Nipah, Pulau Rempang, Pulau Galang dan Pulau Galang Baru. Terdapat 6 Jambatan Balerang iaitu Jambatan Tengku Fisabilillah (Jambatan Pertama), Jambatan Nara Singa, Jambatan Ali Haji, Jambatan Sultan Zainal Abidin, Jambatan Tuanku Tambusai dan Jambatan Raja Kecil.



Kami hanya dapat melalui lima jambatan sahaja sehingga ke Pulau Galang untuk menuju ke Kamp Pengungsian Warga Vietnam. Harga bagi sebuah kereta memasuki kawasan Kem ialah Rp 22 000.
Pada tahun 1979, UNHCR dan PBB telah mengumpulkan pelarian daripada Vietnam di sini. Pelarian Vietnam ini menaiki sampan untuk keluar daripada kesesakan hidup di negara asal mereka. Jadi, satu tempat yang besar telah diperuntukkan untuk mengumpulkan mereka.  Kem ini lengkap dengan hospital, sekolah, tempat beribadat, perkuburan dan paling hebat dilengkapi dengan sistem paip yang lengkap dikala penduduk sekitarnya iaitu warga Indonesia masih tidak mempunyai kelengkapan sehebat itu. Namun, pada tahun 1997, semua pelarian Vietnam ini telah dikembalikan ke negara asal mereka.




Muzium di sini mempamerkan pelbagai gambar yang mampu menceritakan segala-galanya. 
Warga Vietnam mempelajari pelbagai latihan keterampilan. 


Semasa tahun 1997, sebagai langkah tiada seorang warga Vietnampun yang dapat melarikan diri, segala bahan untuk melarikan diri telah dibakar dan dimusnahkan. Terdapat juga gambar yang menunjukkan warga Vietnam menuntut kewarganegaraan Indonesia. 





Terdapat warga Vietnam yang tidak mahu kembali ke negara asal mereka telah membakar diri dan membunuh diri . Oleh itu, kem ini juga dikatakan amat 'keras'. Kawasan kem ini amat besar dan perlu dikelilingi dengan menaiki kereta. 
Cuaca tidak menyebelahi kami, sebelum keluar dari Kem ini, hujan lebat melimpah-limpah seolah-olah menghalau kami untuk lebih cepat keluar!


Seterusnya kami singgah sebentar di Pantai Melayu. Singgahan semasa hujan! Kami perlu membayar Rp 2 000 untuk memasuki kawasan pantai. Sungguh kejam sekali! Jadi, kami mengambil keputusan untuk tidak singgah di mana-mana pantai lagi selepas ini kerana setiap kali harus membayar! Di Batam terdapat banyak pantai yang indah seperti Pantai Tanjung Pinggir, Pantai Nongsa dan Pantai Melur.


Jika anda mahu melihat Batam dari Bukit, anda boleh ke Bukit Senyum. Anda juga boleh melihat bangunan-banguna di Singapura dari salah satu pantai yang saya sebutkan.
Hujan telah menghadkan perjalanan saya.

Tiba di Indonesia, tidak sah jika tidak menjamah makanan Padang! Ohh....sedap sekali makanan Padang di sini. Kami tidak kecewa dengan harganya walaupun sedikit mahal kerana masakannya amat enak!



Tentang hotel pula, terdapat banyak hotel yang murah! Kami menempah Hotel Penuin yang harganya sekitar Rp195 000  sehari beserta sarapan pagi dan wi fi. 


Dalam perjalanan ke Batam Central, saya meminta supir untuk singgah di Pos Indonesia. Sungguh sukar memeperolehi kartu pos ataupun poskad di sini. Saya harus ke Kantor Pos untuk membeli poskad dan mengirimkan poskad kepada diri sendiri dan sahabat saya Goh Yin Lee. Kos setem ke Malaysia agak mahal iaitu Rp 5 000 ( RM1.50) jika dibandingkan dengan Malaysia, jika anda mahu menghantar poskad ke luar negara hanya perlu meletakkan setem 50 sen sahaja.

Usai urusan di atas, teksi terus menuju ke Batam Central dan setelah membayar Rp110 000 di mana-mana kaunter kapal ke Stulang Laut, kami menaiki kapal pada pukul 1.30 tengah hari.



Tamatlah sudah perjalanan kami di Batam, Indonesia! Jika diberi kesempatan saya mahu ke Kepulauan Riau  seperti Pulau Penyengat dan Pulau Bintan. Teringin mahu menziarahi perkampungan Melayu di sana. 
Teringin juga mahu ke Pulau Karimun yang indah!
Insya Allah.

up