.:Catatan ke Indonesia:.

Assalammualaikum wbt,

Indonesia,
Pada Mei yang lepas, saya dan suami ke Indonesia mengikuti rombongan sekolah.
Destinasi utama rombongan ialah ke Bandung dan Jakarta.
Sebelum ini, suami saya pernah menjejak kaki ke bumi Indonesia bersama keluarganya pada 2 tahun yang lepas.
Maka, perbandingan antara perjalanan pertama dan kedua iaitu bersama rombongan sekolah dapat dilakukan.

Kami menaiki pesawat Air Asia seawal jam 7 pagi dari Malaysia dan turun di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta pada pukul 9 pagi jam Malaysia. Disebabkan perbezaan waktu GMT, jam harus diputar 1 jam kebelakang. Maka, kami tiba pada pukul 8 pagi jam Indonesia.
Terdapat 2 kenderaan berlainan yang menjemput rombongan kami. 1 untuk rombongan kami, 1 lagi untuk rombongan bagasi kami untuk terus dihantar ke hotel penginapan di Bandung. Hahhahaha....


Kami dibawa terus ke Pasar Baru, Bandung. Perjalanan dari Jakarta mengambil masa lebih kurang 3 jam. Macet menghantui kami sebaik sahaja memasuki Pekan Bandung. Saya dan suami sangat mengagumi pemandu-pemandu Indonesia kerana mereka mempunyai kemahiran mencilok ruang kereta yang ada, keyakinan yang tinggi untuk merapati kenderaan yang lain, ditambah pula dengan kesabaran yang sangat tinggi menempuhi macet yang sangat panjang dan lama. Walaupun macet ini merupakan suatu keburukan di mata saya dan suami, namun ia menjadi punca rezeki bagi segelintir penduduk di kawasan yang dilanda macet. Terdapat beberapa penduduk yang memberanikan diri mencari sumber rezeki yang halal dengan menjual peta Bandung, makanan dan surat khabar dengan berjalan di antara ruang-ruang kereta semasa macet dan terdapat juga yang hanya berkaki ayam.
(Macet = Kesesakan lalu lintas)
Pekan Baru merupakan bangunan membeli belah yang amat terkenal di Bandung kerana menawarkan harga yang murah lebih-lebih lagi bagi barang yang dibeli secara pukal.
Tidak sah jika tidak membeli telekung dari Bandung. Saya dan suami turut membeli beberapa telekung untuk diberikan kepada ahli keluarga. Saya mencadangkan agar pembaca yang berhajat untuk membeli belah di Bandung dapat membandingkan harga barang yang hendak dibeli dengan harga di Malaysia sebaik-baiknya. Harus diingat bahawa tidak semua barang dijual pada harga yang murah.

Kekecewaan pertama saya dan suami ialah apabila agen kami tidak menepati janji untuk berkumpul di satu tempat di Pekan Baru untuk pulang ke hotel penginapan. Agen tersebut menyuruh kami berkumpul pada pukul 4 waktu Malaysia, hampa apabila dia tiba pada pukul 6 waktu Malaysia. 2 jam kelewatan tersebut telah menyebabkan kami lewat untuk mngerjakan solat Jamak T'akhir Zohor dan Asar. Kami terus dibawa ke hotel penginapan yang terletak di Jalan Cihampelas, Bandung.

Malam pula, kami berjalan di sekitar Jalan Cihampelas. Saya dan suami lebih tertarik dengan barang yang dijual di Factory Outlet. Seluar jeans yag dijual memenuhi citarasa dan saiz suami tersayang sehingga kami membeli hampir 7 helai seluar di situ.

Hari kedua, kami ke Pekan Baru sekali lagi dan seterusnya ke Tangkuban Perahu yang terletak di Utara Bandung. Tangkuban Perahu merupakan tempat pelancongan yang popular dan terletaknya kawah gunung berapi yang masih aktif. Terdapat juga cerita dongeng di sebalik kawah ini yang dipanggil Dongeng Sangkuriang (kalau tidak silap sayalah).
Boleh dikatakan hanya Tangkuban Perahu sahaja tempat pelancongan yang dibawa oleh agen kami yang benar-benar menarik hati saya dan suami. Terdapat sangat ramai penjual yang sedaya upaya menjual barangan mereka kepada pelancong-pelancong. Suami menasihati saya supaya tidak membeli melalui penjual jalanan kerana apabila sekali kita membeli daripada seorang penjual, penjual yang lain akan sentiasa mengikuti kita sehinggalah kita membeli daripada mereka.


Kekecewaan kedua saya ialah apabila agen saya tidak membawa kami makan di tempat Makanan Padang yang pernah saya cadangkan sebelum ini berdasarkan pengalaman suami saya. Kami hanya dibawa ke kedai makanan Indonesia biasa, seolah-olah tiada perancangan dilakukan oleh agen kami. Bagi saya dan suami, kami ingin merasai makanan Padang ataupun Sunda yang sukar didapati di Malaysia.
Musollah tidak sukar didapati di Bandung. Di mana-mana sahaja pasti terdapat Musollah. Apa yang saya dan suami dapati, musollah sentiasa dipenuhi oleh muslimin dan muslimat Indonesia. Saya terkejut apabila seorang muslimat membuka telekongnya, rupanya dia memakai skirt pendek. Terdapat juga musollah yang tidak mempunyai hijab di antara lelaki dan perempuan.
Kesimpulannya ialah, walaupun orang Islam di sana memakai pakaian yang tidak menutup aurat, namun mereka tetap mengutamakan solat. Buktinya ialah kesenangan untuk mencari musollah. (hanya pendapat saya).

Seterusnya kami dibawa ke Cibaduyut yang popular dengan barangan kulit sapi. Boleh dikatakan barangan kulit yang dijual murah dengan menggunakan jenama-jenama antarabangsa yang mahal seperti Mont Blanc dan Bonia. Namun, saya dan suami tidak tertarik dengan barangan yang dijual.

Hari terakhir kami dibawa ke Mangga Dua Jakarta. Mangga Dua merupakan kompleks membeli belah yang teramat besar di Jakarta. Saya hanya membeli beberapa helai baju blaus dan sepasang jubah Indonesia. Suami pula membeli beberapa keping CD permainan Play Station 2 yang hanya dijual dengan harga 5 ribu rupiah sekeping bersamaan dengan RM1.85.
Seterusnya kami menuju ke Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta untuk pulang ke Malaysia.

Mungkin Bandung sesuai untuk pelancong yang gemarkan aktiviti membeli-belah. Saya dan suami pula lebih mengemari pelancongan ke tempat-tempat bersejarah ataupun tempat yang mempunyai permandangan yang indah yang tiada di negara kita.
Saya sedih kerana tidak mengenali negara Indonesia, juga tidak mengenali budaya Indonesia.
Buat masa ini, saya dan suami tiada hajat untuk kembali ke Bandung.
Kami lebih berminat ke Jogjakarta bagi mengenali sejarah Candi Borobudur yang merupakan Candi Buddha terbesar pada abad ke-9 ataupun ke Bukit Tinggi untuk menikmati permandangan indah di sana.

Destinasi pelancongan saya dan suami selepas ini ialah India.
Kami berminat untuk melawat tempat-tempat wali Islam yang terdapat di sana bermula dari New Delhi ke Taj Mahal, Agra. Alhamdulillah terdapat keluarga pelajar suami saya yang akan menjadi penunjuk arah sepanjang satu bulan perjalanan mengenali bumi India.
Semoga Allah swt memudahkan setiap urusan kami.

.:Catatan ke Singapura:.

Assalammualaikum wbt

Jauh perjalanan, Luas permandangan
Pepatah di atas sinonim dengan orang yang suka berjalan.
Setakat ini beberapa negara telah dilawati.
Alhamdulillah ini semua rezeki yang tidak putuh-putus Allah swt berikan kepada saya dan suami saya. Sepanjang perjalanan ke beberapa tempat, saya dan suami lebih gemar jalan bersama tanpa agen pelancongan. Ini disebabkan apabila kami berjalan dan berusaha mencari sendiri tempat yang hendak ditujui, kami lebih mengenali budaya dan tempat tersebut.


Saya dan suami ke Singapura pada minggu cuti Tahun Baru Cina pada bulan dua yang lepas. Sebenarnya saya telah tersilap menempah tiket kapal terbang yang sepatutnya ditempah pada cuti bulan tiga. Syukur alhamdulillah kebetulan pula tarikh yang tersilap jatuh pada tarikh cuti juga. Itu pun saya tersedar 3 hari sebelum tarikh penerbangan.
Saya dan suami berusaha mendapatkan maklumat tentang Singapura sebanyak mungkin melalui Internet. Sistem pengangkutan awam Singapura memang harus dipuji. Sangat cepat dan mudah. Saya dan suami hanya perlu mencari MRT untuk menuju ke tempat yang ingin kami tujui.
Walaupun kami banyak berjalan kaki, namun kami gembira kerana kami dapat melihat budaya di sekitar kami. Kami berhenti di mana-mana tempat yang kami mahu. Hanya makanan yakin halal sukar didapati di Singapura. Mungkin kami tidak tahu tempat sebenar orang Melayu di sana. Kami pergi ke Arab Street untuk mendapatkan makanan orang Melayu yang diyakini halal. Kami juga sempat melawat 2 Masjid di Singapura. Terdapat satu masjid di Chinatownyang dinamakan Masjid Jamae (Chulia) yang berusaha untuk memperbaiki salah tanggapan orang bukan Islam terhadap Islam. Terdapat juga pelbagai info tentang perkembangan tamadun Islam dipamerkan di masjid tersebut. Rupanya barulah saya mengetahui bahawa Rubix Cubeyang sering dimain oleh remaja dicipta oleh orang Islam. Sememangnya saya amat mengagumi usaha jawatankuasa masjid tersebut. Kemudian kami ke Jurong Bird Park.




Saya dan suami juga tidak ketinggalan melawat tempat pelancongan yang terkenal di Singapura iaitu Pulau Sentosa. Naik MRT terus menuju ke stesyen Harbour Front untuk menaiki Sentosa Ekspress yang berada di dalam VivoCity Mall. Berhenti di Universal Studios dan akhirnya kecewa rupanya semasa itu, ianya masih belum dibuka. Kemudian saya dan suami terus ke
Siloso Beach menaiki Sentosa Ekspress. Kebetulan pula, bus shuttle untuk Pulau Sentosa tiada kerana Cuti Tahun Baru Cina. Alangkah penatnya saya dan suami terpaksa berjalan jauh untuk ke Pantai Siloso. Panas terik! dan paling mendukacita ialah hanya satu sahaja kedai makanan halal di Pantai Siloso. Berdiri di Pantai Siloso, saya dapat melihat kapal-kapal kontena melalui perairan di sekitar pulau dan pantai tersebut sangat bersih dan ramai pelancong bermandi-manda (tidak termasuk kami).
Kami juga turut melawat Underwater World Singapura dan Dolphin Lagoon,
Malam pula, saya dan suami melihat Song of The Sea yang amat mengagumkan di Pulau Sentosa.
Malam seterusnya pula, saya dan suami ke Singapore Fountain of Wealth: Largest Fountain in the World yang terletak di Suntec City.


Hari terakhir di Singapura, saya dan suami ke Esplanade untuk melihat keunikan bangunan Esplanade. Kemudian kami terus ke Marina Bay untuk melihat bangunan Marina Bay Sands yang seakan-akan terdapat kapal di atas tiga bangunan.

Kepada pembaca yang ingin ke Singapura, saya mencadangkan agar pembaca mendapatkan hotel penginapan yang murah di sekitar Geylang Serai dan bukannya Lorong Geylang kerana Geylang Serai merupakan tempat asal penduduk Melayu Singapura, manakala Lorong Geylang pula dipenuhi dengan kedai-kedai Cina yang pada waktu malamnya terdapat ramai pemabuk Cina.

Boleh dikatakan bahasa Melayu masih lagi menjadi bahasa komunikasi di Singapura. Papan tanda di stesyen MRT juga masih menggunakan bahasa Melayu.
Sistem tunjuk arah di Singapura juga amat membantu dan berkesan. Tidak kiralah tunjuk arah untuk menaiki bas, MRT, ataupun jalan. Bagi saya, pelancong tidak perlu risau apabila sesat di Singapura.

Kesimpulannya, saya dan suami amat gembira dapat mengenali Singapura. Kami berhajat untuk datang ke sini lagi pada masa akan datang untuk memasuki Universal Studios. InsyaAllah.

Bermula Ekspedisi Cuti Sekolah

Assalammualaikum wbt,
Tamat kertas Kimia SPM, tamat jugalah tugas saya sebagai guru pengawas peperiksaan.
Alhamdulillah, ringan sikit kepala dan bermulalah masa-masa rehat yang dinantikan.
Bercerita tentang kertas SPM 2009, kertas Fizik tahun ini memang senang. Kertas 1 dan Kertas 2 Bahagian A kebanyakkannya ialah soalan yang tidak merumitkan. Terdapat juga soalan di Kertas dua seakan-akan soalan dari tahun-tahun sudah seperti soalan yang melibatkan Impulsive Force, Soalan yang melibatkan Archimedes' Principle juga sangat mudah. Tiada sebarang pengiraan yang meminta pelajar mengira Bouyant Force hanya setakat mengira spring balance. Bertuahnya pelajar-pelajar yang duduk SPM Fizik tahun ini. Semoga pelajar-pelajar SMKKJ dapat menjawab dengan baik.
Perancangan cuti....ermm..insyaAllah besok saya akan memulakan perjalanan ke Perlis. Dalam perjalanan ke sana yang merupakan kampung suami, kami merancang untuk singgah ke Tambun dan Ipoh untuk melawat kawan baik saya Shafizah Omar Hisham. Kemudian kami juga merancang untuk singgah di Bukit Bendera Penang.
Kepada semua pelajar lepasan SPM, jangan terlalu gembira kerana SPM telah tamat. Ingatlah bahawa ujian sebenar dalam kehidupan baru sahaja bermula.
Berhati-hatilah dalam semua tindakan. Berfikir dahulu sebelum melakukan apa juga keputusan.
=)

Membeli Buku


Assalammualaikum wbt,
lama sudah tidak mengirimkan sebarang pos,
Mungkin saya masih belum dapat membahagikan masa dengan baik semenjak bergelar seorang isteri.
pada dua hari yang lepas, saya ke Jalan Tunku Abdul Rahman atau Jalan TAR untuk membeli tudung yang bersesuaian dengan baju yang baru dijahit oleh ibu tersayang. Alhamdulillah tudung yang diingini berjaya dibeli di Ariani dengan potongan 20%.

Selepas itu, suami mengajak saya masuk ke Pustaka Mukmin untuk mencari buku Keajaiban Kaabah terbitan A to Z Enterprise (Jika tidak silap saya). Saya masuk ke dalam kedai buku tersebut sambil membelek novel-novel di rak. Saya berhajat untuk membeli satu set Novel Sejarah Islam terbitan PTS.
Dalam masa sebulan, saya berjaya menghabiskan pembacaan 4 buah buku iaitu Salahuddin Penakluk Jurusalem, Ikramah Abu Jahal, Sultan Muhamad al-Fateh Penakluk Constantinople dan Abu Ubaidah Penakluk Parsi . Tetiba semangat membaca membara-bara. Alangkah gembiranya apabila buku yang diingini terdapat di kedai buku tersebut.

Berikut merupakan senarai buku yang dibeli oleh saya:
1. Tariq Menang ataupun Syahid oleh Abdul Latip Talib, RM23.90
2. Khalid Memburu Syahid oleh Abdul Latip Talib, RM32.90
3. Bilal bin Rabah Pengumandang Seruan Langit oleh Abdul Latip Talib, RM26.00
4. Uthman Affan Pengumpul al-Quran oleh Abdul Latib Talib, RM24.00
5. Ikan Fugu, lukisan dan Jimson oleh Faisal Tehrani, RM6.00
6. Detektif Indigo Kembali oleh Faisal Tehrani, RM16.00
7. Maaf dari Syurga oleh Faisal Tehrani, RM16.00
8. 9 Nyawa oleh Ramlee Awang Murshid, RM19.90
9. The Last Juror by John Grisham, RM27.00
10. The Broker by John Grisham, RM 26.00
11. GTO Guru Terhebat Olan oleh AD Mirzai, RM 17.90
12. Magnet Rezeki dengan Solat Duha oleh Muhammad Mokhtar, RM10.90
13. Menyingkap Kejahatan Yahudi oleh Ghazi Muhammad al-Qarni, RM 6.90
14. Doa Menjadi Pengantin Baru Setiap Hari oleh Zahazan Mohamed, RM12.00

Banyak buku yang dibeli pada hari tersebut, tetapi buku yang paling dikehendaki suami telah kehabisan stok. Namun suami turut membantu dalam memilih buku-buku yang dibeli. dan semua buku yang dibeli mempunyai 10% diskaun.

Semoga saya dapat menamatkan pembacaan buku-buku di atas =)


up