India #4

Hari kedua ialah hari yang dinantikan.
Kami akan ke Agra di mana terletaknya salah satu 7 Wonders of the World, Taj Mahal.
Kami bangun seawal pagi. Jalan di Chuna Mandi Panj lenggang. Tidak seperti di sebelah malamnya yang sibuk. Pelajar sekolah sibuk untuk ke sekolah.


Pemandu memberitahu perjalanan dari New Delhi ke Agra akan mengambil masa 6 jam. Kami melalui lebuhraya ke Agra namun, apabila hampir tiba di tol, kesesakan berlaku dan kenderaan lain memberitahu ada terjadinya tragedi tembak-menembak di tol yang bakal kami lalui. Hal ini disebabkan, pembayaran tol baru sahaja diperkenalkan dan bagi orang yang miskin, ia mengundang ketidakpuashatian.

Kami terpaksa berpatah balik dan mengambil jalan alternatif yang lain iaitu melalui kawasan perkampungan. Sepanjang perjalanan, saya melihat bagaimana cara hidup masyarakat India yang menjalankan aktiviti pertanian. Banyak rumah yang hanya separuh siap dan diperbuat daripada najis lembu. Jalan juga sangat kecil dan berlecah. Apa yang boleh saya katakan ialah perjalanan ke Taj Mahal amat mencabar.

Kami tiba agak lewat dan hari makin gelap. Selepas memakir kereta, kami terpaksa berjalan jauh menuju ke kawasan Taj Mahal. Bayaran sebanyak RM56 dikenakan bagi pengunjung luar. Kami tidak mempunyai banyak masa untuk menikmati keindahan Taj Mahal. Melangkah ke dalam kawasan Taj Mahal dan melihat keindahan seni binanya membuatkan saya kagum. Subhanallah, sungguh indah bangunan ini. Namun alangkah sedihnya ia dibina lebih besar daripada masjid yang hanya berjiran dengan Taj Mahal. Keadaan masjid di sebelahnya sungguh menyedihkan, tiada lampu dan imam terpaksa menyalakan lilin semasa kami ingin bersolat.


Keajaiban Taj Mahal boleh dirasai bermula dari pintu masuknya. Apabila saya menuju ke pintu pagarnya, seolah-olah Taj Mahal menjauhi saya. Dan apabila saya berundur sambil melihat Taj Mahal, ia seolah-olah mengejar saya. Mungkin disebabkan pantulan cahaya di pintu tersebut.
Taj Mahal juga merupakan bangunan yang paling simetri pada zamannya.
Menaranya pula dibina condong sedikit keluar bagi mengelakkan ia runtuh menghadap kubah utama Taj Mahal. Dinding-dinding Taj Mahal dipenuhi dengan ayat-ayat al-Quran yang dapat dilihat dengan jelas. Di pintu masuk taj Mahal terdapat ukiran ayat al-Quran dari surat Yasin.
Dikatakan juga pada zaman pemerintahan Mughal iaitu Shah Jahan, kolam air di hadapan Taj Mahal sentiasa panas dan semasa India dijajah oleh British, kolam tersebut telah dikaji dan orang British telah menjumpai seketul batu yang menyebabkan air kolam tersebut sentiasa panas. Batu tersebut telah diambil oleh orang British tersebut.
Dikatakan juga di atas kubah Taj Mahal mempunyai seekor kuda terapung dan ia juga telah dirampas oleh orang British bagi kajian mereka. Kuda tersebut terapung disebabkan oleh daya magnet yang telah digunakan semasa pemerintahan Shah Jahan. Pelbagai teknologi digunakan bagi membina Monumen yang indah ini, namun ia telah dirampas oleh penjajah.

Shah Jahan telah berjanji kepada isteri keduanya iaitu Mumtaz semasa isterinya sakit untuk membina sebuah lambang cintanya kepada isterinya. Taj Mahal ini dibina sebagai lambang cinta Shah Jahan kepada isterinya dan disinalah terletak makam kedua-dua suami dan isteri ini.
Di dalam Taj Mahal, makam Shah Jahan dan isterinya dipagari dengan batu jed yang dilubangkan dan dibentuk seumpama mahkota. Batu jed tersebut telah diukir menggunakan warna-warna tertentu dan apabila disuluhkan warna tersebut bercahaya.


Selepas monumen ini siap dibina, Shah jahan ingin membina sebuah lagi monumen seakan Taj Mahal namun ia mendapat tentangan hebat daripada rakyat dan anaknya sendiri. Bagi mengelakkan pembaziran, anaknya telah mengurungkan Shah Jahan di Istana Merah (Red Fort) yang terletak berdekatan dengan Taj Mahal. Shah Jahan hanya dapat meratapi Taj Mahal dari tempat kurungannya iaitu di salah sebuah menara di Red Fort sehinggalah beliau mangkat.


Taj Mahal akan kelihatan pada sebelah malam hanya apabila bulan penuh. Batu marmar yang merupakan bahan utamabagi membina monumen ini akan memantulkan cahaya bulan dan ia akan bersinar semasa waktu tersebut.

Sesungguhnya Taj Mahal merupakan sebuah monumen yang sangat hebat.

Kami berada di Taj Mahal sehingga gelap. Kemudian kami menuju ke Ajmeer.

India #3

Kami solat jama' di Masjid Qutubuddin.
Pada sebelah petang, kami dibawa ke Jama' Masjid yang berada berhampiran dengan jalan pusat yang sibuk di Old Delhi, Chawri Bazar Road.
Masjid ini merupakan masjid yang terbesar dan terkenal di India yang dibina pada tahun 1656 AD oleh Sultan Mughal Shah Jahan, yang juga merupakan pembina bagi Taj Mahal.
Jama' Masjid yang juga beerti masjid Jumaat akan menjadi tumpuan semasa hari Jumaat bagi sembahyang Jumaat dan mampu menampung sehingga 25 ribu jemaah pada satu masa.
Terdapat juga beberapa khazanah yang ditempatkan di utara pintu masuk masjid, termasuklah al-Quran yang ditulis di atas kulit rusa.


Terdapat 3 pintu bagi memasuki kawasan masjid iaitu dari timur, utara dan selatan dan pintu masuk ini dibina menggunakan pasir baru berwarna merah. Setiap pintu masuk ini mempunyai anak tangga yang berlainan. Bumbung masjid dibina dengan 3 kubah dengan jalur-jalur selang hitam dan marmar putih. Terdapat 2 menara yang berketinggian 130 kaki berlorek dengan marmar putih dan pasir batu merah. Menara ini mempunyai 130 anak tangga.
Di bawah kubah masjid, terletaknya dewan utama solat dengan 7 pintu masuk. Lantai ruang solat diperbuat daripada marmar putih dan guli yang berwarna hitam yang berbentuk sejadah.

Di kawasan masjid, terdapat juga kolam bagi jemaah mengambil wudhuk dan dikatakan sangkar yang terdapat di penjuru kolam tersebut merupakan tempat di mana Rasulullah s.a.w pernah mengambil wudhuk. Menurut cerita penduduk di sekitar, semasa pembinaan masjid ini, Shah Jahan berharap agar pembinaan masjid ini mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t.
Semasa sedang tertidur selepas beribadat di Istananya iaitu Red Fort yang terletak tidak jauh dengan Masjid Jama', beliau telah bermimpi Rasulullah s.a.w sedang mengambil wudhuk di kolam kawasan masjid. Selepas terjaga dari tidur beliau terus menunggang kudanya menuju ke tempat seperti di dalam mimpinya dan beliau melihat terdapat tapak kaki. Dengan ini, beliau percaya bahawa Allah s.w.t. merahmati masjid yang dibinanya.
Kesan tapak kaki tersebut telah di ambil dan dijaga di salah satu tempat yang berada di pintu masuk kawasan masjid. Saya sempat memegang tapak kaki yang dikatakan merupakan tapak kaki Rasulullah s.a.w. Dikatakan apabila kita menyentuhnya, tangan kita akan berbau harum dan ianya memang betul. Namun, sama ada kisah ini benar atau tidak, hanya Allah s.w.t sahaja yang tahu.


Hari pertama tamat. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan tidak sukar untuk mencari makanan halal. Terima kasih Allah s.w.t

India #2

Kami tiba di Lapangan Terbang Indira Gandhi lewat pukul 11.20 tengah malam jam India. Dunia sekan berbeza semasa melangkah keluar dari pintu Lapangan Terbang. Sangat ramai orang tidur di kawasan lapangan terbang. Kami dibawa mengelilingi New Delhi dan seterusnya kami dibawa untuk bertemu dengan salah seorang ahli parlimen India yang beragama Islam iaitu, Harun. Inilah kali pertama saya memakan makanan yang dibuat di India. Nasi & Dal dan Ayam Tandoori. Saya hanya menjamah sedikit sahaja memandangkan kepenatan melebihi segala-galanya.

Kami di bawa ke hotel penginapan kami di pinggir bandar New Delhi.

23 November 2010: Hari pertama saya di India.
Cuaca mencecah 18 darjah. Inilah kali pertama saya merasai cuaca yang sejuk sebegini. Program kami p[ada hari ini ialah melawat masjid-masjid di sekitar New dan Old Delhi serta melawat tempat bersejarah.

Selepas bersarapan, kami dibawa ke salah sebuah masjid yang terletak di New Delhi iaitu Masjid Nizamuddin. Boleh dikatakan kebanyakkan masjid-masjid di India pasti mempunyai makam dan makam di masjid ini dikelilingi dengan ramai orang yang membaca al-Quran dan terdapat juga penyair-penyair yang melaungkan sajak-sajak berlagu sambil memainkan alat muzik memuji Nizamuddin yang merupakan salah seorang wali Sufi yang dihormati. Makam Nizamuddin dikelilingi dengan beberapa makam yang lain dan ia dibina di atas sebuah tangki. Terdapat satu lagenda yang berkaitan dengan Wali Nizamuddin ini. Dipercayai pada masa dahulu, terdapat
satu pertelingkaran antara raja-raja Tughluqabad dan wali untuk membina tangki ini dan akhirnya, wali tersebut marah seterusnya menyumpah bandar raya Tughluqabad tidak akan berkembang dan dikatakan sumpahan ini masih terjadi hingga sekarang.
Makam Nizamuddin berbentuk segi empat sama dengan dihiasi bumbung berbentuk kubah sekuntum bunga teratai.

Selepas membaca Yassin, kami beredar dan menuju ke destinasi seterusnya.

Kami menuju ke Qutub Minar.
Qutub Minar merupakan sebuah menara tinggi berwarna merah yang dibina bagi tujuan
memperingati kemenangan semasa pemerintahan Mughal. Qutub Minar ini merupakan diantara menara bata yang paling tinggi dan terkenal didunia dengan ketinggian 234 kaki. Untuk pengetahuan pembaca, menara ini lebih tinggi daripada menara Pisa yang terletak di Itali dan menara Pagoda yang terletak di China.

Pada dinding menara Qutub Minar, dipahat dengan ayat-ayat al-Quran. Jika dilihat dari b
awah, ayat-ayat al-Quran sama sahaja saiznya tidak kiralah ayat tersebut dipahat paling bawah ataupun atas. Disekeliling menara terdapat kompleks minar yang terdiri daripada madrasah dan beberapa menara lain. Menara-menara yang lain ini telah runtuh disebabkan gempa bumi yang terjadi dan kesannya masih dapat dilihat sehingga sekarang. Dinding-dinding bangunan dipahat dengan ayat-ayat suci al-Quran dengan tanpa cacat cela dan penuh dengan kesenian dan ketelitian. Hasil ini mempamerkan bagaimana umat Islam India dahulu menunjukkan kecintaan mereka terhadap agama Islam.

India #1


Assalammualaikum,
perjalanan ke India selama 1 bulan membawa berjuta kenangan indah dan pengalaman yang tidak mungkin dapat saya peroleh daripada negara yang lain.

Benarlah kata-kata penulis Amerika, Mark Twain :
"India is, the cradle of the human race, the birthplace of human speech, the mother of history, the grandmother of legend, and the great grand mother of tradition, our most valuable and most instructive materials in the history of man are treasured up in India only"

Terlalu banyak tempat bersejarah, juga pelbagai kerenah manusia yang dapat dilihat. Walaupun sebulan kami berada di India, kami hanya sempat berada di Utara, Selatan dan Barat India.
Perjalanan kali ini diuruskan oleh keluarga pelajar suami saya iaitu keluarga Encik Shahul Hameed. Atas pertolongan keluarga mereka, kami dapat mengelilingi India dengan kos yang paling minimum iaitu kurang daripada RM2000 seorang selama sebulan termasuklah kos pengangkutan udara dan darat (kereta api + kereta), makanan, tempat tinggal dan bayaran masuk ke kawasan-kawasan bersejarah serta kawasan perlancongan.

Perancangan ke India telah bermula sejak di awal perkahwinan kami. Namun, disebabkan faktor kewangan yang tidak mengizinkan, kami menundakan hajat ini. Alhamdulillah, tahun 2010 Allah s.w.t telah memurahkan rezeki kami dan kami dapat ke India dengan izinNya bersama-sama dengan keluarga Shahul Hameed, Ayah dan Ibu mertua.

Segala penempahan tiket kapal terbang dan tiketr kereta api dibuat 4 bulan sebelum tarikh ketibaan. Walupun seawal begini, kami di antara penumpang yang lewat menempah tiket kereta api.

Saya akan berkongsi pengalaman mengenali bumi India selama satu bulan di blog saya ini!
Semoga segala perkongsian mendapat kebaikan untuk kita bersama. InsyaAllah

up