Kilang Beryl's, Seri Kembangan

Assalammualaikum wbt,
Semalam saya mengikut lawatan lepas PMR lagi.
Mesti ada yang cakap
"Bestnyer jadi cikgu dapat pergi lawatan sana sini"

Tidak semua cikgu dapat ikut lawatan, tetapi ini sebagai kredit kepada cikgu yang mengajar pelajar Tingkatan 3. Saya hanya menurut jawatankuasa Program Lepas PMR. Semuanya telah dirancang lebih awal.

Lawatan ke Kilang Beryl's tidak mengambil masa yang lama.
Terlalu banyak sekolah mengambil kesempatan mengunjungi kilang ini.
Cokelat, memang banyak peminatnya termasuklah si pembuat blog ini.

Beryl's merupakan produk tempatan yang telah mula bertapak sejak 1995.
Kilangnya tidak terlalu besar tetapi Beryl's telah memasuki pasaran Jepun.
Setibanya di sana, saya sudah melihat 4 bas dari sekolah yang lai n walaupun jam baru menunjukkan jam 9.30 pagi.

Kami di bawa ke bilik tayangan untuk melihat tayangan ringkas tentang Kilang dan acra pembuatan cokelat Beryl's.


kemudian kami di bawa menyelusuri lorong tentang sejarah cokelat yang bermula dari kaum Maya kemudian menjadi minuman kaum kerabat kaya raya Eropah, cara bagaimana cokelat didapati dari pokok buah koko, perkembangan cokelat dan semua ini diterangkan oleh seorang pekerja Beryls sambil melihat gambar-gambar di lorong tersebut. dari tingkap kaca lorong tersebut kami dapat melihat mesin-mesin memproses cokelat.


Kemudian kami di bawa ke kedai Beryl's dan di sini kami dapat merasa beberapa cokelat.
Sangat sangat suka dengan cokelat Tiramisu. Ohh...sangat sedap.


Cokelat yang dibeli

Dah beli cokelat, kami ke Putrajaya untuk membunuh masa!


101 Rekreasi hati

PPAS, Shah Alam

PPAS ialah singkatan bagi Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor yang terletak di padang Golf berhampiran dekat Giant Shah Alam.

Apa yang boleh dikatakan semasa selangkah memasuki PPAS ialah "HEBAT BETUL!"
Inilah merupakan satu-satunya perpustakaan awam yang bertaraf antarabangsa dari segi perkhidmatan, kelengkapan dan keselesaannya.
Bangunan PPAS mempunyai 6 tingkat dengan tagline 'Selangkah ke Perpustakaan Sejuta Senyuman' kemudian saya terlihat pula tagline 'Menjadikan Perpustakaan sebagai Rumah kedua'.
Pada pendapat saya, jika PPAS ini terletak di tempat yang strategik dan mempunyai kemudahan pengangkutan awam yang cekap sudah pasti tagline Rumah Kedua sesuai dijadikan Rumah Pertama.


Tingkat paling atas merupakan ruang rujukan, seterusnya Dewasa 2, Dewasa 1, Remaja dan Tingkat LG terletaknya ruang santai dan kanak-kanak.
Saya dimaklumkan bahawa idea perpustakaan ini diasimilasikan daripada beberapa perpustakaan di Singapura dan Hong Kong.
Di ruang kanak-kanak terdapat pokok yang membuatkan ramai kanak-kanak teruja untuk melepak di bawahnya. Di ruang ini juga terdapat permainan Wii yang menjadi rebutan.


Di ruang paling bawah terletaknya pelbagai perabot untuk bersantai. Pengunjung boleh baring, duduk, berbincang dan buatlah apa sahaja asalkan tidak menganggu orang lain.
PPAS juga menyediakan 2 jenis komputer di setiap tingkat. Komputer Apple Mac dan HP.
Pengunjung yang mahu menggunakan perkhidmatan perlu menjadi ahli terlebih dahulu.
Hanya perlu mendaftar di laman web PPAS secara percuma kemudian aktifkan di kaunter ruang bersantai.


Saya juga dimaklumkan bahawa tapak PPAS ini dihadiahkan oleh Sultan Selangor. Sultan Selangor sangat menyokong pembinaan PPAS ini. Disebabkan inilah, PPAS terletak di dalam padang Golf.
Ahli PPAS akan berpeluang menggunakan semua perkhidmatan yang disediakan.
Hanya RM1.00 untuk satu jam dicas bagi penggunaan komputer.
Manakala perkhidmatan cetakan pula RM0.20 bagi sehelai kertas hitam putih.

Harganya sememangnya berpatutan dan tidak melampau.

PPAS juga turut menyediakan gym yang telah diasingkan untuk lelaki dan perempuan tetapi masih belum dibuka kepada pengunjung.

Selain itu juga, ahli PPAS berpeluang meminjam buku selama 3 minggu dan boleh menyambung untuk 3 minggu seterusnya hanya melalui panggilan telefon.
Perkhidmatan fotokopi juga disediakan dengan kadar bayaran RM0.10 bagi setiap helai.

Tidak seperti Perpustakaan Negara yang amat sukar untuk meminjam buku.


Di sini juga terdapat tayangan 6D dan 3D. Bulan Disember ini saya pasti akan membawa suami untuk melihat tayangan 6D dengan bayaran RM10.

Terdapat juga ruang untuk perbincangan, ruang untuk belajar sendiri yang perlu ditempah lebih awal.

PPAS mempunyai parkir kereta yang luas dan dibelakangnya terdapat sebuah tasik dan taman.
Di sini juga terdapat buku rujukan bagi PMR dan SPM. Terdapat juga koleksi kertas peperiksaan.

Di sini juga terdapat satu ruang khas menempatkan pelbagai buku dan rujukan berkaitan dengan negeri Selangor. Jadi, sesiapa yang sedang membuat kajian tentang Selangor boleh datang ke sini untuk mendapatkannya.

Bus shuttle disediakan dari Bangunan PKNS Shah Alam. Bas awam pula tidak masuk sehingga ke sini.

Dengan suasana yang kondusif, dikelilingi oleh pemandangan hijau yang indah, perabot dan interior design yang cantik, ianya semamangnya mampu menarik ramai pengunjung.
Walaupun pengunjung seperti kanak-kanak datang untuk bermain, sekurang-kurang matlamat pertama untuk mendekatkan orang awam dengan perpustakaan tercapai.

Lama-kelamaan pasti kanak-kanak tersebut akan memegang buku juga akhirnya.



'Selangkah ke Perpustakaan Sejuta Senyuman'
sangat setuju dengan tagline tersebut!


Jom ramai-ramai ke sana. Pasti anda tidak kecewa!
PPAS dibuka pada pukul 9.30 pagi - 6.00 petang dan tutup pada Cuti Umum.
Senang-senang layari laman web PPAS

Yayasan Restu


Assalammualaikum wbt
Sudah lama tidak menulis apa-apa di sini.

Terlalu banyak kerja yang perlu disiapkan sehingga tiada masa untuk membuka blog sendiri. Komitmen terhadap kerja perlu diutamakan.
Kertas Peperiksaan Akhir Tahun pelajar perlu ditanda sebelum 4 November, jadi saya perlu berjuang berhabis-habisan untuk menyemak setiap naskah jawapan pelajar.

Semalam, 1 November 2011 saya diamanahkan untuk membawa seramai 37 orang pelajar ke Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan Yayasan Restu bersama seorang lagi guru pengiring.

Syukur kerana banyak ilmu yang baru diperolehi saya. Saya lebih tertarik untuk bercerita tentang lawatan saya ke Yayasan Restu yang berlokasi di Taman Seni Islam Shah Alam bersebelahan dengan Masjid Negeri Selangor.


Yayasan Restu merupakan pusat pembinaan mushaf al-Quran dan hadis, pusat seni khat, pusat seni reka motif budaya bangsa, pusat ICT al-Quran, hadis dan seni islam, pusat pendidikan seni Islam dan pelbagai fungsi yang lain.



Di sini terdapat muzium tentang sejarah awal al-Quran mula ditulis dn disalin. Terdapat juga al-Quran dari pelbagai negara yang menggunakan khat yang berlainan dan ianya sungguh indah.
Ada al-Quran yang ditulis dengan menggunakan khat Kufi Fatimi, Diwani jali, Ijazah, Farisi, Kufi Maghribi dan banyak lagi. Di Malaysia, khat yang sering digunakan ialah Khat Nasakh.

Khat Nasakh

Bagi saya, khat yang paling sukar untuk dibaca ialah Kufi Muraba' ataupun dikenali sebagai Khat segi Empat. Kedah susunan ialah bersifat memenuhi ruang.


Di muzium tersebut juga terdapat replika rumah Rasulullah s.a.w. saya dimaklumkan bahawa hanya tapak rumah tersebut sahaja yang tinggal di Mekah kerana telah dirobohkan oleh Kerajaan Arab Saudi bagi mengelakkan Khurafat.


Saya juga di bawa melihat bagaimana corak di warnakan dan al-Quran ditulis dengan menggunakan khat sebelum melalui proses-proses seterusnya.
Terasa kagum dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh Yayasan Restu ini.
Yayasan Restu sedang berusaha keras untuk mengumpul dana bagi membina sebuah masjid di Hiroshima, Jepun.
Yayasan Restu juga turut menyumbangkan al-Quran kepada negara-negara yang miskin seperti Kemboja.
Selain itu juga Yayasan Restu turut menganjurkan pelbagai kelas agama percuma setiap hari di Taman Seni Islam Selangor. InsyaAllah saya dan suami akan ke sana pada Disember untuk mengikuti kelas-kelasnya.
Terdapat juga Kelas Pengajian Al-Quran, Kelas Tahfiz Al-Quran, Pengajian secara Talaqqi Bersanad Muttasil hingga Rasulullah s.a.w, Pembelajaran Asas Pemahaman dan Tafsir Al-Quran; dan Adab-Adab Al-Quran dan As-Sunah.
Yang berminat boleh berhubung terus dengan Yayasan Restu di talian 03-55119001 atau layari laman web Yayasan Restu.
Semoga Yayasan Restu akan terus berkembang dan maju.

up