Semua boleh terbang

Assalammualaikum w.b.t
Semua boleh terbang! lebih-lebih lagi ada Air Asia.
"Everyone can fly"
Ramai yang mengatakan saya beruntung kerana dapat ke luar negara pada setiap tahun. Tidak kurang hebatnya dengan pujian saya seorang yang kaya.
Saya dan suami bekerja sebagai seorang guru di sekolah kerajaan. Tidaklah kaya, tetapi Alhamdulillah Allah s.w.t tidak pernah memutuskan rezeki kepada hambaNya. Kami perlu menyimpan untuk ke destinsi yang ingin kami tujui.
Jadi saya ingin berkongsi bagaimana cara saya mendapatkan pelancongan bajet saya.

Disember 2011: Percutian di atas kapal Star Cruises Phuket Krabi

Saya bersyukur kerana mempunyai seorang suami yang sentiasa menasihati saya supaya sentiasa mengambil peluang yang Allah berikan dan sentiasa bersangka baik dengan apa yang terjadi.
Sejak berkahwin, beberapa negara telah kami ziarah seperti Singapura, Indonesia, India, Hong Kong dan Thailand. Walaupun tidaklah sejauh mana, saya tetap bersyukur dengan rezeki yang ada. Semua pelancongan kami merupakan pelancongan bajet.

Feb 2010: Di Pusat Sains Singapura

Perancangan yang teliti harus dilakukan sekurang-kurangnya 1 tahun sebelum tarikh yang ditetapkan. Perancangan perlulah meliputi perancangan perjalanan. Beberapa perkara perlu diambil kira seperti makanan halal, kiblat, cuaca, pengangkutan, bahasa, keselamatan, kedudukan hotel dan lain-lain.
Saya akan menempah tiket terlebih dahulu selepas membuat beberapa kajian tentang negara yang bakal saya lawati. Kriteria utama ialah isu keselamatan. Saya dan suami ada merancang untuk ke Filipina. Namun atas faktor keselamatan kami kuburkan niat kami. Air Asia sentiasa menawarkan tiket yang murah sehingga kebanyakkan rakan tidak percaya dengan harga yang saya perolehi. Ke Hong Kong pada September 2011, saya memperolehi harga RM750 bagi perjalanan pergi balik untuk dua orang. Ke Jogjakarta pada Mac 2012, saya memperolehi tiket RM360 bagi perjalanan pergi balik untuk dua orang. Amat murah, jika anda menempah 1 tahun lebih awal. Kita semua mampu. Hanya perlu rajin menekan butang-butang di laman sesawang Air Asia sahaja.

September 2011: Disneyland Hong Kong

Setelah mendapatkan tiket, saya akan melakukan penyelidikan yang lebih mendalam. Saya akan mengunjungi MATTA Fair yang diadakan pada setiap tahun pada bulan Mac dan Sepetember di PWTC. Di sini saya akan mengambil peluang untuk mendapatkan sebanyak mana maklumat
tentang negara yang saya rancang untuk pergi. Di MATTA Fair juga saya memperolehi tiket masuk ke Disneyland HK dengan harga yang jauh lebih murah. Di sana, saya berpeluang bertanya secara terus dengan si penjaga gerai dan mendapatkan peta-peta khas untuk pelancong bajet seperti saya. Anda juga mungkin akan mendapat promosi yang hebat. Contohnya, saya dan keluarga suami mendapatkan percutian atas kapal kami di sana dengan harga serendah RM1100 semasa cuti sekolah. Di sana juga saya pernah mendapatkan bas Five Stars bagi perjalanan pergi balik ke Universal Studio Singapore dengan harga RM50.

Disember 2010: Taj Mahal, India

Di MATTA Fair juga, saya akan berusaha mendapatkan sebanyak mana iltenari untuk digunakan pada masa hadapan. Contohnya, semasa perancangan ke Jogjakarta, saya mendapati harga yang ditawarkan oleh travel agency di Malaysia agak mahal. Oleh itu, saya berusaha mendapatkan iltenari di gerai yang menawarkan percutian ke Jogjakarta. Kemudian, saya akan meminta bantuan hotel untuk mendapatkan saya pemandu Indonesia (supir) dan memberikannya iltenari yang saya ubahsuai daripada pelbagai iltenari. Akhirnya, saya memperolehi harga RM360 bagi 4 hari perjalanan di Jogjakarta bersama pemandu Indonesia, kereta Toyota Avanza dan mengikut iltenari saya. Saya juga mengumpulkan iltenari Hong Kong yang membolehkan saya mengetahui tempat-tempat yang wajib saya lawati sebagai seorang pelancong. Semasa di Hong Kong, saya dan suami mampu bergerak sendiri dengan bantuan peta Hong Kong serta peta MTR. Jika anda tidak yakin, anda boleh menggunakan khidmat bantuan pelajar-pelajar Malaysia di negara yang anda ingin lawati. Selain itu juga, saya turut menziarahi blog si blogger yang pernah ke negara yang saya ingin lawati supaya saya mengetahui dengan lebih mendalam tentang masalah yang bakal saya hadapi dan juga tempat yang menarik yang mungkin boleh dikunjungi. Tip-tip berguna dari blogger juga perlu diambil kira.

Mac 2012: Candi Borobudur, Yogjakarta Indonesia

Perjalanan mengenal bumi India pada bulan Disember 2010 pula hanya memerlukan sejumlah wang RM1600 seorang bagi segala kos pengangkutan dan sara hidup selama sebulan. Murah bukan? Alhamdulillah pelajar suami saya yang membawa kami menjelajah India dengan kos yang minima. Dia membawa kami sebagai hadiah bagi perkahwinan kami. Pelajar suami saya serta keluarganya telah berusaha membawa kami dari utara ke selatan seterusnya ke barat India. Banyak yang saya belajar dari perjalanan saya di India. Untuk anda yang mempunyai rakan atau pelajar yang berada di luar negara, ia merupakan satu kelebihan.

Disember 2011: Pantai Aonang, Krabi

Bahan yang wajib dibawa oleh saya dan suami semasa melancong ialah kompas, sejadah kecil, beberapa tin ayam tuna mayonnaise, roti, bubur nasi dalam cawan dan biskut. Kami akan cuba membawa seminima barang yang mungkin kerana kami bergerak sendiri. Sebagai pelancong Islam, suami akan memahirkan diri menggunakan kompas bagi mencari arah kiblat. Sejadah kecil perlu dibawa sentiasa. Kami juga akan berusaha menziarahi masjid-masjid yang ada.

Kami sentiasa berniat melancong untuk melihat ciptaan Allah s.w.t.
Apabila kami melancong, kami dapat melihat sendiri sosio-budaya tempat tersebut, kami dapat melihat bagaimana sesebuah masyarakat memajukan negara mereka, kami dapat melihat adat mereka dan kami dapat melihat keunikan mereka. Dari sini saya belajar untuk lebih mensyukuri segala nikmat yang Allah s.w.t telah berikan.

Disember 2011: Phuket

Saya dan suami mampu merancang perjalanan bajet kami. Saya percaya anda juga lebih mampu dari saya.
Akhir tahun ini, InsyaAllah saya dan suami akan ke Beijing.
Satu lagi destinasi bajet yang kami akan lawati =)
Selamat bertemu lagi

Hobi baru saya

Assalammualaikum w.b.t
Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w

Pasti pelajar-pelajar sekolah sedang bergembira sekarang ini dek kerana cuti sekolah selama 2 minggu.
Apa kurangnya dengan cikgu-cikgunya betul tak? namun yang pasti cuti ini tidaklah seindah mana disebabkan tugasan menanda kertas peperiksaan pelajar yang perlu disiapkan sebelum tamatnya 2 minggu yang indah ini.

Post kali ini saya ingin berkongsi hobi baru.


Postcrossing merupakan satu projek yang membolehkan saya menerima poskad dari seluruh dunia dengan percuma. Idea utamanya ialah apabila saya menghantar satu poskad, saya juga akan menerima satu poskad daripada sesiapa sahaja di seantero dunia.


Projek ini cukup mudah! saya hanya perlu mendaftar di laman web Prostcrossing. Kemudian, apabila saya bersedia untuk menghantar poskad, saya akan menerima satu alamat secara rawak dan saya perlu menyediakan satu poskad untuk diberikan kepada alamat tersebut.

Selama 32 hari bergiat dengan hobi baru ini, saya telah menerima 2 keping poskad daripada Hong Kong dan Finland.

Dari Hong Kong

Dari Finland

Setiap hari saya pasti akan ke peti pos rumah saya untuk melihat sama ada saya telah menerima sebarang poskad atau tidak. Sangat surprise, kerana kita tidak tahu dari mana poskad tersebut dihantar. Saya bukan sahaja menerima poskad, malah saya turut menerima setem daripada postcrosser.

Bagi penyediaan sekeping poskad, saya hanya memerlukan sekeping poskad, setem 50 sen dan pelekat Mel Udara yang boleh didapati dari pejabat pos yang berdekatan.

Bahan yang diperlukan

Poskad yang sedia dihantar

Setiap kali poskad yang dikirim, menerima satu kod. Contohnya bagi kod di bawah ialah MY-104446. Saya perlu menulisnya di atas poskad dan penerima poskad tersebut akan mendaftarkan kod yang ditulis setelah menerimanya.


Seronok bukan? Apa kata anda pula cuba.
Saya tidak mampu menjelajah ke setiap pelosok dunia. Namun, saya dapat melihat dunia melalui poskad yang diterima.
Happy Postcrossing

Berpesta dengan Buku

Pesta Buku Antarabangsa datang lagi!
Datang lagi dengan pelbagai tawaran menarik yang akan menggoda hati ini untuk membeli pelbagai buku.
Kali ini saya ke Pesta Buku selama 2 hari. Itupun masih lagi saya rasanya tidak cukup menikmati segala buku yang ada!
Tanggal 29 April hingga 6 Mei, seperti biasa, Pesta Buku dijalankan di PWTC.
Tahun ini dilihat seperti tidak tahun-tahun sebelumnya. Tidak banyak syarikat penerbitan yang turut serta.
Tidak banyak juga hadiah percuma yang diperolehi. Begitu juga diskaun untuk buku. Mungkin kerana kos penerbitan sesebuah buku telah melonjak naik menyebabkan syarikat penerbitan tidak dapat memberikan hadiah percuma kepada pembeli.




Tahun ini hampir RM500 dihabiskan untuk membeli buku-buku untuk disumbat ke Perpustakaan Mini di rumah.
Kunjungan hari pertama ke PWTC pada hari Ahad membuatkan saya lemas di tengah-tengah lautan manusia. Tidak nikmat langsung!
Walaupun saya tiba seawal jam 10 pagi, PWTC telah dipenuhi oleh pengunjung dari pelbagai peringkat umur.
Perhimpunan BERSIH yang diadakan pada hari Sabtu juga menjadi penyumbang kepada kesasakan pengunjung pada hari Ahad.




Saya datang lagi pada hari Jumaat. Saya bersyukur kerana saya dapat bersua dengan beberapa penulis pada hari tersebut.
Mula-mula saya bertemu dengan Ustaz Zahazan di gerai Telaga Biru yang sedang mempromosikan beberapa buku dan majalah terbitan syarikat tersebut. Beliau memaklumkan bahawa pada setiap hari beliau akan membaca hampir 3 buah buku sebelum tidur.
Jadi, tidak hairanlah setiap subuh sewaktu mendengar slot beliau di IKIM.fm, pelbagai jenis buku disebutnya sebagai rujukan kepada hujah-hujahnya.





Kemudian terserempak pula dengan Dr. Feisal Tehrani. dengan kadar segera saya ke gerai Institut Terjemahan dan Buku Malaysia untuk mendengar Wawancara Sofa Putih bersama Feisal Tehrani. Feisal Tehrani yang hadir untuk mempromosikan buku barunya iaitu Perempuan Nan Bercinta. pelbagai soalan diutarakan kepada beliau berkenaan dengan gaya penulisan beliau yang dianggap sebagai provokasi. Namun apa yang menarik tentang buku-buku Feisal Tehrani ialah beliau berani untuk memberi teguran sinis dalam penulisan beliau. Wawancara bersama beliau langsung tidak membuatkan saya penat walaupun berdiri hampir satu jam.





Sebelum pulang saya singgap di Kedai Pink Ain Maisarah yang serba pink. Pada Ahad yang lepas, seawal 10 pagi pengunjung sudah mula menyerbu gerai tersebut. Alhamdulillah, hari Jumaat yang barakah, Allah swt memberikan saya peluang bertemu dengan penulis muda ini. sangat terharu apabila AIn Maisarah masih mengingati nama saya dan memanggil saya semasa beliau dikerumuni oleh peminat.






Bertemu pula dengan bekas pelajar saya yang sedang menuntut di Maahad Tahfiz Negeri Pahang.


Seronok! Semoga bertemu lagi tahun depan.

16 Mei 2012


Selamat Hari Guru kepada semua insan yang bergelar pendidik!
saya amat rindu zaman saya menjadi seorang pelajar yang dahagakan ilmu daripada seorang guru.
Terima kasih cikgu kerana telah berusaha menjadikan saya seperti mana saya sekarang ini.
Terima kasih cikgu atas semua doa cikgu!
Terima kasih kerana penat lelah menyemak buku latihan saya yang kekadang membuatkan cikgu pening kepala,
terima kasih cikgu atas segala masa yang cikgu berikan untuk memahamkan saya yang jahil,
Terima kasih cikgu kerana menjadi seorang yang serba hebat dalam segala hal,
Terima kasih cikgu kerana membuatkan saya jatuh cinta dengan profesion guru,
Terima kasih cikgu kerana tidak pernah mengatakan tidak kepada saya,

"Ya Allah, Kau ampunkanlah dosa semua guru-guruku dan semua orang yang pernah memberikan ilmu kepadaku walaupun dengan sebaris kata. Semoga mereka tergolong dalam orang-orang yang beriman".
Maafkan saya cikgu atas segala kekhilafan saya yang menyakiti cikgu sewaktu dulu.
"SELAMAT HARI GURU"


up