Sijil Juru Pertolongan Cemas: Persediaan

Assalammualaikum wbt.
Menjadi seorang guru, saya perlu serba serbi tahu.
banyak perkara yang saya belajar sejak menjadi guru pemimpin Pandu Puteri Renjer. Saya bukan sahaja dapat melibatkan diri di peringkat sekolah, malah lebih dari itu.
Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk meningkatkan kemahiran saya dari masa ke masa.
Minggu hadapan saya akan menyertai Ujian Juru Pertolongan Cemas.
Ujian ini merupakan ujian untuk guru pemimpin seperti saya.
Ujian ini akan dilakukan semasa Kem Perkhemahan Pandu Puteri Remaja dan Renjer yang akan diadakan di Rumah Pandu Puteri Selangor. Kem Perkhemahan ini merupakan gabungan 2 sekolah iaitu sekolah saya dan salah sebuah sekolah di Kajang.
Terdapat 3 orang guru pemimpin yang akan mengambil ujian semasa perkhemahan tersebut disamping pelajar-pelajar juga mengambil ujian Kelas Dua.


Seorang pemimpin akan mengambil ujian Kem Komanden, seorang akan mengambil Ujian Juru Masak dan saya pula akan mengambil Ujian Juru Pertolongan Cemas.
Pelbagai persediaan yang perlu dilakukan sebelum menjelang hari perkhemahan.



Pertama: Melawat tapak perkhemahan.
Saya dan Pn. Jasmine melawat tapak perkhemahan kami untuk melihat kesesuaian, keselamatan dan kemudahan asas yang sedia ada.
Saya perlu mengenalpasti lokasi di tapak perkhemahan yang sesuai untuk didirikan khemah Pertolongan Cemas dan penghadang untuk menukar pakaian.


Kedua: Menyediakan surat kepada MBPJ, Balai Polis dan Balai Bomba.
Surat kepada MBPJ supaya fogging dapat dilakukan di kawasan perkhemahan. Selain itu juga, saya meminta supaya pihak MBPJ dapat memotong rumput yang panjang di kawasan perkhemahan serta menyediakan sebuah tong sampah yang besar untuk aktiviti selama 4 hari.
Juru Pandu Arah untuk aktiviti berjalan kaki sejauh 7km di Bukit Gasing juga dimohon daripada MBPJ.
Surat ke Balai Polis dan Bomba untuk makluman supaya persediaan sebarang kes kecemasan. Saya juga memohon pihak polis supaya sentiasa membuat rondaan di kawasan perkhemahan memandangkan kawasan perkhemahan kami yang agak terpencil.
Saya juga turut ke Klinik MBPJ yang berdekatan dengan tapak perkhemahan untuk menyerahkan surat makluman aktiviti kami.


Ketiga: Menyediakan Kelengkapan Pertolongan Cemas.
Saya perlu menyediakan satu peti pertolongan cemas yang lengkap dengan ubat-ubatan. Ubat-ubatan tersebut perlu dikenalpasti masih boleh digunakan. Saya tidak membeli peti Pertolongan Cemas yang baru tetapi meminjamnya daripada Bulan Sabit Merah di sekolah saya. Saya juga turut meminjam Strecher dan cooler box.

Keempat: Melengkapkan Diri dengan Pengetahuan Amali Pertolongan Cemas.
Ini perkara penting sebagai Juru Pertolongan Cemas.
Saya perlu mempunyai pengetahuan amali pertolongan cemas, pemulihan pernafasan dan sebaik-baiknya mengetahui pemulihan jantung. Saya juga perlu mengetahui cara untuk merawat kecederaan ringan dan mahir dengan prosedur kecemasan.

Pendek kata, saya ketua untuk penjagaan kesihatan di kem perkhemahan ini.
Berat betul Ujian ini.
Semasa mendaki Bukit Gasing saya perlu sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.
Saya sangat berharap saya dapat lulus dengan cemerlang ujian ini!
kemahiran Pertolongan Cemas bukan sahaja untuk membantu orang lain, ia juga dapat membantu diri saya sendiri serta keluarga saya.
Bahagian paling malas ialah penyediaan folio ujian. huhuhuhu~~~~

0 comments:

Post a Comment


up