Assalammualaikum wbt,
Pada cuti penggal pertama persekolahan yang lepas, saya, suami serta kedua ibu ayah mertua telah berlibur ke Yogjakarta.
Tempahan tiket telah dilakukan pada tahun lalu. Kami berjaya mendapatkan tiket yang murah iaitu RM360 bagi perjalanan pergi dan pulang bagi 2 orang.
Borobudur
Mengapa Yogjakarta dipilih?
Yogjakarta merupakan tempat yang penuh dengan sejarah. Seingat saya dalam SPM Sejarah, kita mempelajari tentang sejarah Candi Borobudur dan Angkor Wat. Saya tertarik untuk melihat sendiri seni bina Candi Borobudur.
Sebelum menaiki tangga untuk memasuki kawasan Candi
Terdapat banyak candi atau kuil di sini. Candi Borobudur, Candi Prambathan, Candi Ratu Boko dan lain-lain. Candi Borobudur merupakan Candi Buddha manakala Candi Prambathan merupakan Kuil Hindu. saya memilih untuk ke Candi Borobudur sahaja memandangkan tiketnya agak mahal iaitu USD13. Lebih kurang dalam RM49.
Setelah menaiki tangga yang tinggi, berehat sebentar
Borobudur berasal dari 2 perkataan iaitu 'Bore' dan 'Budur'. 'Bore' ialah nama sebuah kampung di sana manakala 'Budur' membawa maksud candi atau kuil. Oleh itu, Borobudur membawa maksud 'Candi Bore'. Tetapi terdapat juga pelbagai versi bagi maksud Borobudur.
Tingkat yang tertinggi iaitu Nirvana
Keluasan Borobudur ialah 2500 km persegi. Ia merupakan stupa Buddha aliran Mahayana yang paling terbesar di dunia. Candi ini mula dibina antara tahun 750 - 850 Masihi oleh pemerintah Jawa Dinasti Sailendra dan Sanjaya.
Pengaruh Buddha mulai merosot dengan kehadiran agama Islam di Yogjakarta. Kemerosotan Borobudur semakin teruk apabila ditimbus oleh abu lava gunung berapi dan akhirnya candi ini dijumpai oleh Sir Raffles Thomas pada tahun 1814.
Dinding Borobudur dipenuhi dengan pelbagai arca manusia, haiwan dan tumbuhan. Di setiap tingkat arca ini disusun menjadi sebuah cerita dan pengajaran. Ceritanya dikatakan berasal dari kitab Ramayana dan Jataka. Arca ini disusun dari kiri ke kanan. Tingkat yang tertinggi ialah Nirvana iaitu kesempurnaan. Di sinilah terdapat loceng berlubang yang di dalamnya diletakkan stupa Buddha yang sedang berehat.
Dinding dipenuhi dengan arca
Penyempurnaan pembinaan candi ini dikatakan mengambil masa hampir 75 tahun.
Candi Borobudur telah dicatatkan sebagai World Heritage Centre oleh UNESCO pada tahun 1991.
Tangga Borobudur yang tinggi. Mungkinkah orang dahulu kala tinggi-tinggi belaka?
Bazar
Di pintu keluar dari kawasan candi Borobudur, terdapat sebuah bazar yang menjual pelbagai barang seperti baju, seluar dan hasil kraftangan. Yogjakarta popular dengan batiknya. Saya syorkan anda membeli belah di sini berbanding di tempat lain, kerana harganya jauh lebih murah jika anda pandai menawar harga dengan jurujualnya. Kedai di Jalan Malioboro tak semurah di sini.
Cuaca bersahabat dengan kami sepanjang berada di Candi Borobudur.
Selepas ke Borobudur, kami ke Gunung Merapi.