.:Bengkel i-Nilam:.

Assalammualaikum,
Hari ini saya ke Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Selangor sekali lagi. Tetapi kali ini untuk mengikuti Bengkel i-Nilam.
Bengkel ini bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir pada pukul 12.30 tengah hari.

i-Nilam
Pada bulan Februari, Bahagian teknologi Pendidikan telah mengeluarkan arahan supaya semua sekolah menggunakan pengurusan i-Nilam secara online.
GPM perlu sentiasa mengemaskini data buku yang dibaca oleh pelajar pada setiap bulan.
Jika sebelum ini, kebanyakkan sekolah akan mula mengutip data pada bulan Mei dan Oktober, kini GPM perlu mengutip data tersebut pada setiap bulan.
i-Nilam bukanlah perkara yang amat mudah.
Pertama sekali GPM perlu mendapatkan data SMM iaitu data pelajar daripada Guru Data Sekolah dan mengubahnya kepada format .txt. Kemudian perlu mengikuti beberapa prosedur yang bergantung kepada kelancaran internet.
Kemudian guru Nilam perlu mengisi satu persatu data murid satu sekolah ke dalam sistem tersebut. Data tahun 2009 dan data setiap bulan 2010.
Yang paling rumit ialah pada setiap bulan, guru NILAM perlu memasukkan juga jenis buku yang dibaca oleh setiap pelajar sama ada buku tersebut ialah Fiksyen Melayu, Inggeris, India atau Cina; dan Buku Bukan Fiksyen.

Sistem ini kebaikannya ialah jika semua sekolah telah menggunakan sistem ini, ia akan memudahkan guru sekolah lain untuk mendapatkan maklumat NILAM pelajar yang berpindah.
Tetapi keburukannya ialah sedangkan data setengah tahun pun sukar untuk diperolehi, bagaimana pula dengan data setiap bulan?
Ini hanya akan menambahkan kerja guru Kelas dan guru Nilam.
Pelajar juga tidak ramai yang mencatatkan buku yang dibaca dalam buku Nilam.
Paling berat sekali ialah apabila sesebuah sekolah itu melantik guru GPM sebagai guru Nilam, juga Penyelaras Nilam. Semua tugas GPM yang perlu buat.
Entah apa jadi dengan Jawatankuasa untuk menkaji beban guru????

"Menurut Perintah"
Itulah kata-kata yang sering didengar.

.:Prosedur Memproses Buku:.


Berikut merupakan carta alir memproses buku di Pusat Sumber Sekolah saya.

1. Merekod data buku ke dalam Rekod Perolehan Bahan Buku oleh saya.
Nombor Perolehan Buku, Nombor Panggilan Buku, Nama Pengarang, Tajuk Buku, Tempat Penerbitan, Tahun Penerbitan, Nombor Invoice, Pembekal, Punca, Harga Buku & Jumlah Muka Surat Buku.

2.
Penyediaan Slip Kerja oleh Pengawas Pusat Sumber.
Nombor Perolehan Buku, Nombor Panggilan Buku, Nama Pengarang, Tajuk Buku, Tempat Penerbitan, Tahun Penerbitan, Nombor Invoice, Pembekal, Punca, Harga Buku & Jumlah Muka Surat Buku.

3.
Automasi Buku berdasarkan Slip Kerja oleh Pengawas Pusat Sumber.

4. Menampal barcode, mengecop hak milik, menampal slip tarikh pulang, melekat nombor panggilan, membalut buku.

5.
Mencetak kad katalog buku baru dan memasukkannya dalam Rak Kad Katalog.

Memang macam senang, tetapi siapa yang pernah membuatnya pasti terasa kesusahan memproses buku.
Prosedur pertama merupakan kerja saya. Rekod Perolehan Bahan Buku merupakan satu rekod harta kerajaan yang sangat penting dan tidak boleh ditulis oleh pelajar. Bayangkan saya perlu merekod satu persatu data yang diperlukan dalam Rekod Perolehan tersebut. Jika 300 buah buku yang tiba, data 300 buah buku terpaksa dilakukan oleh saya.
Prosedur kedua dan seterusnya adalah kerja Pengawas Pusat Sumber.
Walaupun begitu, saya harus memantau setiap proses buku kerana kebanyakkan Pengawas Pusat Sumber yang melakukan proses buku terdiri daripada pelajar Tingkatan 1 dan 2.
Buku yang dibeli pula bukannya setiap minggu. Ia mengikut musim. Selalunya Pusat Sumber akan membeli sejumlah buku yang banyak pada awal tahun dan akhir tahun.
Maka, pelbagai kesilapan kerap dilakukan Pengawas Pusat Sumber disebabkan 'lupa'.

Saya telah mengajar dan mendidik beberapa Pengawas Pusat Sumber untuk membantu dalam kerja Pemfailan. Terdapat lebih daripada 40 fail di Pusat Sumber yang harus dikendalikan oleh saya. Sistem Fail juga sentiasa berubah mengikut arahan. Saya telah mengajar bagaimana hendak mengenal pasti fail yang sesuai untuk memasukkan surat tertentu. Saya juga turut mengajar dimanakah borang-borang disimpan. Dan bagaimana Fail Kuasa berfungsi. Sebenarnya saya masih lagi belajar cara menguruskan fail dengan betul.

Saya juga turut memaklumkan kepada beberapa orang Pengawas jika satu hari saya sudah tidak menjadi Guru Perpustakaan dan Media, mereka perlu memaklumkan guru yang mengantikan saya supaya merujuk bidang kerja Guru Perpustakaan dan Media dalam Fail Kuasa dan Kerja.
Segala-gala maklumat tentang Pusat Sumber Sekolah terdapat dalam fail tersebut.
Fail tersebut penat disediakan oleh saya selepas menghadiri Kusus Asas Pusat Sumber 35 jam pada pertengahan tahun lepas.

Mula-mula saya dilantik menjadi Guru Perpustakaan dan Media, saya belajar sendiri bagaimana untuk menjalankan Pusat Sumber. Disebabkan minat yang mendalam terhadap buku, saya gembira melaksankan tugas saya. Saya sedaya upaya menyesuaikan diri dengan setiap perkara yang datang. Namun, kini dari hari ke hari semangat saya kian pudar. Seakan-akan setiap perkara yang saya lakukan salah. Saya teringin untuk mengajar sepenuhnya kerana itulah minat saya.

.:Waran Pemimpin Renjer:.

Assalammualaikum wbt.

Jam 8.00 pagi saya tiba di PSPN Selangor, Seksyen 19 Shah Alam untuk Majlis Penyampaian Lencana Waran Pemimpin Pandu Puteri.
Pada tahun lepas, saya telah menghadiri Kursus Pra-Waran Pemimpin Pandu Puteri di Kompleks Rakan Muda, Puchong. Hari ini pula saya menerima Lencana Waran Pemimpin Renjer.
Guru yang telah menghadiri kursus Pra-Waran diberikan tempoh 1 tahun untuk menyediakan buku log pra-persetiaan sebagai syarat untuk menerima Lencana Waran Pemimpin. Semasa Kursus Pra-Waran terdapat lebih kurang 70 orang guru Pandu Puteri dari sekitar Petaling, namun pada hari ini hanya 13 orang sahaja yang berusaha memenuhi kriteria untuk mendapatkan waran sebagai Guru Pemimpin.

Lencana Pandu Puteri, Lencana Dunia & Lencana Pemimpin Renjer (Merah).

Terdapat 3 jenis Lencara Waran Pemimpin, iaitu:
Pemimpin Tunas (Guru Pandu Puteri Darjah 1-6) - Coklat
Pemimpin Remaja (Guru Pandu Puteri Tingkatan 1-3) - Biru
Pemimpin Renjer (Guru Pandu Puteri Tingkatan 4-6) -Merah

Selepas lencana diberi, Persatuan Pandu Puteri Negeri akan mengeluarkan Waran yang seakan-akan permit kebenaran untuk seseorang menandatangani kad ujian pelajar-pelajar Pandu Puteri di sesuatu daerah. Tanpa Waran ini, guru pemimpin tidak mempunyai kelayakan untuk melakukan ujian kepada pelajar Pandu Puteri, maka pelajar tersebut tidak dapat mencapai sebarang tahap dalam Pandu Puteri.

Selain itu juga, saya perlu menempah baju kurung berwarna biru bagi dipakai semasa istiadat pelantikan. Kainnya perlu dibeli di Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Pantai Dalam dengan harga RM16 semeter. Memang mahal! Namun baju ini boleh dipakai pada setiap hari Rabu sempena hari memakai baju Ko-Kurikulum ataupun semasa perjumpaan kelab dan persatuan.

Saya bersama Buku Log Pra-Persetiaan.

Penyediaan buku log-persetiaan bukanlah mudah bagi saya. Boleh dikatakan saya menyiapkan buku log ini pada saat terakhir. Terima kasih kepada suami tersayang kerana menemani saya sehingga lewat malam untuk menyiapkan buku ini dan sentiasa tidak putus-putus memberikan kata sokongan supaya saya meneruskan kerja yang telah saya mulakan.

Buku Log dibuat dalam bentuk fail perlu mengandungi beberapa perkara, antaranya:
Biodata Guru Pemimpin
Maklumat Asas Pandu Puteri: Sejarah, Lencana Pandu Puteri, Persetiaan Kepanduan, Tabik Hormat, Isyarat Kepanduan, Bendera Dunia, Panji-panji
Ilmu-ilmu Kepanduan: Isyarat Wisel, Istiadat Pelantikan, Isyarat Tangan, Cara Menaikkan Bendera, Cara Menghormati Panji-Panji.
Laporan Aktiviti & Kewangan Pandu puteri Sekolah.

Saya gembira kerana telah dilantik sebagai Pemimpin Renjer.
Semoga saya dapat terus menyertai setiap aktiviti yang dianjurkan Persatuan Pandu Puteri Malaysia.
InsyaAllah.

.:Catatan ke Indonesia:.

Assalammualaikum wbt,

Indonesia,
Pada Mei yang lepas, saya dan suami ke Indonesia mengikuti rombongan sekolah.
Destinasi utama rombongan ialah ke Bandung dan Jakarta.
Sebelum ini, suami saya pernah menjejak kaki ke bumi Indonesia bersama keluarganya pada 2 tahun yang lepas.
Maka, perbandingan antara perjalanan pertama dan kedua iaitu bersama rombongan sekolah dapat dilakukan.

Kami menaiki pesawat Air Asia seawal jam 7 pagi dari Malaysia dan turun di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta pada pukul 9 pagi jam Malaysia. Disebabkan perbezaan waktu GMT, jam harus diputar 1 jam kebelakang. Maka, kami tiba pada pukul 8 pagi jam Indonesia.
Terdapat 2 kenderaan berlainan yang menjemput rombongan kami. 1 untuk rombongan kami, 1 lagi untuk rombongan bagasi kami untuk terus dihantar ke hotel penginapan di Bandung. Hahhahaha....


Kami dibawa terus ke Pasar Baru, Bandung. Perjalanan dari Jakarta mengambil masa lebih kurang 3 jam. Macet menghantui kami sebaik sahaja memasuki Pekan Bandung. Saya dan suami sangat mengagumi pemandu-pemandu Indonesia kerana mereka mempunyai kemahiran mencilok ruang kereta yang ada, keyakinan yang tinggi untuk merapati kenderaan yang lain, ditambah pula dengan kesabaran yang sangat tinggi menempuhi macet yang sangat panjang dan lama. Walaupun macet ini merupakan suatu keburukan di mata saya dan suami, namun ia menjadi punca rezeki bagi segelintir penduduk di kawasan yang dilanda macet. Terdapat beberapa penduduk yang memberanikan diri mencari sumber rezeki yang halal dengan menjual peta Bandung, makanan dan surat khabar dengan berjalan di antara ruang-ruang kereta semasa macet dan terdapat juga yang hanya berkaki ayam.
(Macet = Kesesakan lalu lintas)
Pekan Baru merupakan bangunan membeli belah yang amat terkenal di Bandung kerana menawarkan harga yang murah lebih-lebih lagi bagi barang yang dibeli secara pukal.
Tidak sah jika tidak membeli telekung dari Bandung. Saya dan suami turut membeli beberapa telekung untuk diberikan kepada ahli keluarga. Saya mencadangkan agar pembaca yang berhajat untuk membeli belah di Bandung dapat membandingkan harga barang yang hendak dibeli dengan harga di Malaysia sebaik-baiknya. Harus diingat bahawa tidak semua barang dijual pada harga yang murah.

Kekecewaan pertama saya dan suami ialah apabila agen kami tidak menepati janji untuk berkumpul di satu tempat di Pekan Baru untuk pulang ke hotel penginapan. Agen tersebut menyuruh kami berkumpul pada pukul 4 waktu Malaysia, hampa apabila dia tiba pada pukul 6 waktu Malaysia. 2 jam kelewatan tersebut telah menyebabkan kami lewat untuk mngerjakan solat Jamak T'akhir Zohor dan Asar. Kami terus dibawa ke hotel penginapan yang terletak di Jalan Cihampelas, Bandung.

Malam pula, kami berjalan di sekitar Jalan Cihampelas. Saya dan suami lebih tertarik dengan barang yang dijual di Factory Outlet. Seluar jeans yag dijual memenuhi citarasa dan saiz suami tersayang sehingga kami membeli hampir 7 helai seluar di situ.

Hari kedua, kami ke Pekan Baru sekali lagi dan seterusnya ke Tangkuban Perahu yang terletak di Utara Bandung. Tangkuban Perahu merupakan tempat pelancongan yang popular dan terletaknya kawah gunung berapi yang masih aktif. Terdapat juga cerita dongeng di sebalik kawah ini yang dipanggil Dongeng Sangkuriang (kalau tidak silap sayalah).
Boleh dikatakan hanya Tangkuban Perahu sahaja tempat pelancongan yang dibawa oleh agen kami yang benar-benar menarik hati saya dan suami. Terdapat sangat ramai penjual yang sedaya upaya menjual barangan mereka kepada pelancong-pelancong. Suami menasihati saya supaya tidak membeli melalui penjual jalanan kerana apabila sekali kita membeli daripada seorang penjual, penjual yang lain akan sentiasa mengikuti kita sehinggalah kita membeli daripada mereka.


Kekecewaan kedua saya ialah apabila agen saya tidak membawa kami makan di tempat Makanan Padang yang pernah saya cadangkan sebelum ini berdasarkan pengalaman suami saya. Kami hanya dibawa ke kedai makanan Indonesia biasa, seolah-olah tiada perancangan dilakukan oleh agen kami. Bagi saya dan suami, kami ingin merasai makanan Padang ataupun Sunda yang sukar didapati di Malaysia.
Musollah tidak sukar didapati di Bandung. Di mana-mana sahaja pasti terdapat Musollah. Apa yang saya dan suami dapati, musollah sentiasa dipenuhi oleh muslimin dan muslimat Indonesia. Saya terkejut apabila seorang muslimat membuka telekongnya, rupanya dia memakai skirt pendek. Terdapat juga musollah yang tidak mempunyai hijab di antara lelaki dan perempuan.
Kesimpulannya ialah, walaupun orang Islam di sana memakai pakaian yang tidak menutup aurat, namun mereka tetap mengutamakan solat. Buktinya ialah kesenangan untuk mencari musollah. (hanya pendapat saya).

Seterusnya kami dibawa ke Cibaduyut yang popular dengan barangan kulit sapi. Boleh dikatakan barangan kulit yang dijual murah dengan menggunakan jenama-jenama antarabangsa yang mahal seperti Mont Blanc dan Bonia. Namun, saya dan suami tidak tertarik dengan barangan yang dijual.

Hari terakhir kami dibawa ke Mangga Dua Jakarta. Mangga Dua merupakan kompleks membeli belah yang teramat besar di Jakarta. Saya hanya membeli beberapa helai baju blaus dan sepasang jubah Indonesia. Suami pula membeli beberapa keping CD permainan Play Station 2 yang hanya dijual dengan harga 5 ribu rupiah sekeping bersamaan dengan RM1.85.
Seterusnya kami menuju ke Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta untuk pulang ke Malaysia.

Mungkin Bandung sesuai untuk pelancong yang gemarkan aktiviti membeli-belah. Saya dan suami pula lebih mengemari pelancongan ke tempat-tempat bersejarah ataupun tempat yang mempunyai permandangan yang indah yang tiada di negara kita.
Saya sedih kerana tidak mengenali negara Indonesia, juga tidak mengenali budaya Indonesia.
Buat masa ini, saya dan suami tiada hajat untuk kembali ke Bandung.
Kami lebih berminat ke Jogjakarta bagi mengenali sejarah Candi Borobudur yang merupakan Candi Buddha terbesar pada abad ke-9 ataupun ke Bukit Tinggi untuk menikmati permandangan indah di sana.

Destinasi pelancongan saya dan suami selepas ini ialah India.
Kami berminat untuk melawat tempat-tempat wali Islam yang terdapat di sana bermula dari New Delhi ke Taj Mahal, Agra. Alhamdulillah terdapat keluarga pelajar suami saya yang akan menjadi penunjuk arah sepanjang satu bulan perjalanan mengenali bumi India.
Semoga Allah swt memudahkan setiap urusan kami.

.:Catatan ke Singapura:.

Assalammualaikum wbt

Jauh perjalanan, Luas permandangan
Pepatah di atas sinonim dengan orang yang suka berjalan.
Setakat ini beberapa negara telah dilawati.
Alhamdulillah ini semua rezeki yang tidak putuh-putus Allah swt berikan kepada saya dan suami saya. Sepanjang perjalanan ke beberapa tempat, saya dan suami lebih gemar jalan bersama tanpa agen pelancongan. Ini disebabkan apabila kami berjalan dan berusaha mencari sendiri tempat yang hendak ditujui, kami lebih mengenali budaya dan tempat tersebut.


Saya dan suami ke Singapura pada minggu cuti Tahun Baru Cina pada bulan dua yang lepas. Sebenarnya saya telah tersilap menempah tiket kapal terbang yang sepatutnya ditempah pada cuti bulan tiga. Syukur alhamdulillah kebetulan pula tarikh yang tersilap jatuh pada tarikh cuti juga. Itu pun saya tersedar 3 hari sebelum tarikh penerbangan.
Saya dan suami berusaha mendapatkan maklumat tentang Singapura sebanyak mungkin melalui Internet. Sistem pengangkutan awam Singapura memang harus dipuji. Sangat cepat dan mudah. Saya dan suami hanya perlu mencari MRT untuk menuju ke tempat yang ingin kami tujui.
Walaupun kami banyak berjalan kaki, namun kami gembira kerana kami dapat melihat budaya di sekitar kami. Kami berhenti di mana-mana tempat yang kami mahu. Hanya makanan yakin halal sukar didapati di Singapura. Mungkin kami tidak tahu tempat sebenar orang Melayu di sana. Kami pergi ke Arab Street untuk mendapatkan makanan orang Melayu yang diyakini halal. Kami juga sempat melawat 2 Masjid di Singapura. Terdapat satu masjid di Chinatownyang dinamakan Masjid Jamae (Chulia) yang berusaha untuk memperbaiki salah tanggapan orang bukan Islam terhadap Islam. Terdapat juga pelbagai info tentang perkembangan tamadun Islam dipamerkan di masjid tersebut. Rupanya barulah saya mengetahui bahawa Rubix Cubeyang sering dimain oleh remaja dicipta oleh orang Islam. Sememangnya saya amat mengagumi usaha jawatankuasa masjid tersebut. Kemudian kami ke Jurong Bird Park.




Saya dan suami juga tidak ketinggalan melawat tempat pelancongan yang terkenal di Singapura iaitu Pulau Sentosa. Naik MRT terus menuju ke stesyen Harbour Front untuk menaiki Sentosa Ekspress yang berada di dalam VivoCity Mall. Berhenti di Universal Studios dan akhirnya kecewa rupanya semasa itu, ianya masih belum dibuka. Kemudian saya dan suami terus ke
Siloso Beach menaiki Sentosa Ekspress. Kebetulan pula, bus shuttle untuk Pulau Sentosa tiada kerana Cuti Tahun Baru Cina. Alangkah penatnya saya dan suami terpaksa berjalan jauh untuk ke Pantai Siloso. Panas terik! dan paling mendukacita ialah hanya satu sahaja kedai makanan halal di Pantai Siloso. Berdiri di Pantai Siloso, saya dapat melihat kapal-kapal kontena melalui perairan di sekitar pulau dan pantai tersebut sangat bersih dan ramai pelancong bermandi-manda (tidak termasuk kami).
Kami juga turut melawat Underwater World Singapura dan Dolphin Lagoon,
Malam pula, saya dan suami melihat Song of The Sea yang amat mengagumkan di Pulau Sentosa.
Malam seterusnya pula, saya dan suami ke Singapore Fountain of Wealth: Largest Fountain in the World yang terletak di Suntec City.


Hari terakhir di Singapura, saya dan suami ke Esplanade untuk melihat keunikan bangunan Esplanade. Kemudian kami terus ke Marina Bay untuk melihat bangunan Marina Bay Sands yang seakan-akan terdapat kapal di atas tiga bangunan.

Kepada pembaca yang ingin ke Singapura, saya mencadangkan agar pembaca mendapatkan hotel penginapan yang murah di sekitar Geylang Serai dan bukannya Lorong Geylang kerana Geylang Serai merupakan tempat asal penduduk Melayu Singapura, manakala Lorong Geylang pula dipenuhi dengan kedai-kedai Cina yang pada waktu malamnya terdapat ramai pemabuk Cina.

Boleh dikatakan bahasa Melayu masih lagi menjadi bahasa komunikasi di Singapura. Papan tanda di stesyen MRT juga masih menggunakan bahasa Melayu.
Sistem tunjuk arah di Singapura juga amat membantu dan berkesan. Tidak kiralah tunjuk arah untuk menaiki bas, MRT, ataupun jalan. Bagi saya, pelancong tidak perlu risau apabila sesat di Singapura.

Kesimpulannya, saya dan suami amat gembira dapat mengenali Singapura. Kami berhajat untuk datang ke sini lagi pada masa akan datang untuk memasuki Universal Studios. InsyaAllah.

up