.:Catatan ke Singapura:.

Assalammualaikum wbt

Jauh perjalanan, Luas permandangan
Pepatah di atas sinonim dengan orang yang suka berjalan.
Setakat ini beberapa negara telah dilawati.
Alhamdulillah ini semua rezeki yang tidak putuh-putus Allah swt berikan kepada saya dan suami saya. Sepanjang perjalanan ke beberapa tempat, saya dan suami lebih gemar jalan bersama tanpa agen pelancongan. Ini disebabkan apabila kami berjalan dan berusaha mencari sendiri tempat yang hendak ditujui, kami lebih mengenali budaya dan tempat tersebut.


Saya dan suami ke Singapura pada minggu cuti Tahun Baru Cina pada bulan dua yang lepas. Sebenarnya saya telah tersilap menempah tiket kapal terbang yang sepatutnya ditempah pada cuti bulan tiga. Syukur alhamdulillah kebetulan pula tarikh yang tersilap jatuh pada tarikh cuti juga. Itu pun saya tersedar 3 hari sebelum tarikh penerbangan.
Saya dan suami berusaha mendapatkan maklumat tentang Singapura sebanyak mungkin melalui Internet. Sistem pengangkutan awam Singapura memang harus dipuji. Sangat cepat dan mudah. Saya dan suami hanya perlu mencari MRT untuk menuju ke tempat yang ingin kami tujui.
Walaupun kami banyak berjalan kaki, namun kami gembira kerana kami dapat melihat budaya di sekitar kami. Kami berhenti di mana-mana tempat yang kami mahu. Hanya makanan yakin halal sukar didapati di Singapura. Mungkin kami tidak tahu tempat sebenar orang Melayu di sana. Kami pergi ke Arab Street untuk mendapatkan makanan orang Melayu yang diyakini halal. Kami juga sempat melawat 2 Masjid di Singapura. Terdapat satu masjid di Chinatownyang dinamakan Masjid Jamae (Chulia) yang berusaha untuk memperbaiki salah tanggapan orang bukan Islam terhadap Islam. Terdapat juga pelbagai info tentang perkembangan tamadun Islam dipamerkan di masjid tersebut. Rupanya barulah saya mengetahui bahawa Rubix Cubeyang sering dimain oleh remaja dicipta oleh orang Islam. Sememangnya saya amat mengagumi usaha jawatankuasa masjid tersebut. Kemudian kami ke Jurong Bird Park.




Saya dan suami juga tidak ketinggalan melawat tempat pelancongan yang terkenal di Singapura iaitu Pulau Sentosa. Naik MRT terus menuju ke stesyen Harbour Front untuk menaiki Sentosa Ekspress yang berada di dalam VivoCity Mall. Berhenti di Universal Studios dan akhirnya kecewa rupanya semasa itu, ianya masih belum dibuka. Kemudian saya dan suami terus ke
Siloso Beach menaiki Sentosa Ekspress. Kebetulan pula, bus shuttle untuk Pulau Sentosa tiada kerana Cuti Tahun Baru Cina. Alangkah penatnya saya dan suami terpaksa berjalan jauh untuk ke Pantai Siloso. Panas terik! dan paling mendukacita ialah hanya satu sahaja kedai makanan halal di Pantai Siloso. Berdiri di Pantai Siloso, saya dapat melihat kapal-kapal kontena melalui perairan di sekitar pulau dan pantai tersebut sangat bersih dan ramai pelancong bermandi-manda (tidak termasuk kami).
Kami juga turut melawat Underwater World Singapura dan Dolphin Lagoon,
Malam pula, saya dan suami melihat Song of The Sea yang amat mengagumkan di Pulau Sentosa.
Malam seterusnya pula, saya dan suami ke Singapore Fountain of Wealth: Largest Fountain in the World yang terletak di Suntec City.


Hari terakhir di Singapura, saya dan suami ke Esplanade untuk melihat keunikan bangunan Esplanade. Kemudian kami terus ke Marina Bay untuk melihat bangunan Marina Bay Sands yang seakan-akan terdapat kapal di atas tiga bangunan.

Kepada pembaca yang ingin ke Singapura, saya mencadangkan agar pembaca mendapatkan hotel penginapan yang murah di sekitar Geylang Serai dan bukannya Lorong Geylang kerana Geylang Serai merupakan tempat asal penduduk Melayu Singapura, manakala Lorong Geylang pula dipenuhi dengan kedai-kedai Cina yang pada waktu malamnya terdapat ramai pemabuk Cina.

Boleh dikatakan bahasa Melayu masih lagi menjadi bahasa komunikasi di Singapura. Papan tanda di stesyen MRT juga masih menggunakan bahasa Melayu.
Sistem tunjuk arah di Singapura juga amat membantu dan berkesan. Tidak kiralah tunjuk arah untuk menaiki bas, MRT, ataupun jalan. Bagi saya, pelancong tidak perlu risau apabila sesat di Singapura.

Kesimpulannya, saya dan suami amat gembira dapat mengenali Singapura. Kami berhajat untuk datang ke sini lagi pada masa akan datang untuk memasuki Universal Studios. InsyaAllah.

0 comments:

Post a Comment


up