Assalammualaikum wbt.
Selama satu tahun kami menunggu peluang bagi memasuki Universal Studios.
Pada tahun lepas kami tiba semasa perasmiannya dan tiket sangat terhad.
Kami tidak berjaya membeli tiket tersebut.
Pada tahun ini persiapan awal dilakukan.
Kami membeli tiket melalui internet dengan harga 72 sin dollar (RM175.68) disebabkan musim cuti persekolahan. Jika musim biasa harganya ialah 66 sin dollar (RM161.04) sahaja.
Kami tiba pada pukul 3 pagi menaiki bas
Five Star Executives Coach yang hanya berharga RM55 bagi perjalanan dua hala. Tiket dibeli semasa Pameran MATTA di PWTC pada bulan dua yang lepas.
Dalam BasTiba seawal pagi begini kami menuju ke Waterfront yang terletak berdekatan dengan Universal Studio dan tidur di sana sementara menunggu Monorail Sentosa memulakan operasi.
Solat di Waterfront dengan berpandukan kompas kerana tiada ruang solat disediakan di Pulau Sentosa dan usai solat, kami menghayati keindahan pagi di sana.
Permandangan langit di Waterfront pada waktu pagiPada tepat pukul 9.00 pagi kami menuju ke kaunter bagi mendapatkan tiket bagi memasuki Universal Studio yang telah ditempah lebih awal. Kemudian kami menaiki monorail ke Vivo City dan seterusnya menaiki MRT Harbourfront menuju ke stesyen MRT Aljuined untuk mendaftar masuk ke hotel penginapan kami yang terletak di Lorong Geylang.
Di bumbung Vivo CityTentang MRT di Singapura, ianya harus dipuji dan dijadikan contoh. Bayangkan terdapat 4 MRT yang berlainan tetapi bekerjasama bagi memudahkan penumpang. Bagi menukar laluan, penumpang tidak perlu membeli tiket yang berlainan cukuplah hanya dengan satu tiket, penumpang boleh menukar laluan masing-masing. Contohnya jika di Malaysia, saya mahu menukar laluan dari LRT Putra ke LRT Star, saya perlu membeli 2 tiket yang berlainan dan perlu keluar dari satu stesyen ke satu stesyen yang lain. Berlainan dengan Singapura. Setiap MRT yang bertemu di tempat yang sama, penumpang hanya perlu menukar MRT di dalam stesyen tersebut sahaja tanpa perlu membeli tiket yang berlainan. Saya hanya perlu merancang perjalanan menggunakan MRT. Jika satu laluan ini sesak, saya boleh memilih laluan alternatif yang lain bagi menuju ke tempat yang ingin ditujui hanya dengan menggunakan MRT. Terdapat stesyen pertembungan yang memiliki banyak
escalator bagi memudahkan penumpang menukar laluan mereka. Setiap kad MRT yang dibeli boleh dituntut depositnya sebanyak 1 sin dollar (RM2.44) di mesin.
Escalator di MRT Dobby GhautKami menjejakkan kaki di Universal Studios pada hari kedua.
Seawal 9.30 pagi kami tiba disana.
Harga tiket bagi menaiki monorail Sentosa ialah 3 sin dollar (RM7.32) bagi perjalanan 2 hala. Universal Studios buka pada tepat pukul 10 pagi.
Memasuki tempat ini seumpama memasuki satu dunia yang lain.
Di New YorkDunia riang ria dengan pelbagai stuktur bangunan yang unik dan menarik, serta karektor kartun disney yang comel.
Bagi kami, tempat yang paling menarik ialah Shrek 4D Adventure; Light, Camera, Action di New York; Waterworld dan Revenge of The Mummy.
Kami telah membawa bekal makanan kerana kami sedia maklum harga makanan dan minuman di sini sangat mahal walaupun ianya mempunyai tanda halal. Bayangkan secawan air sahaja mencecah 4 sin dollar (RM9.76) manakala sebotol air kecil mineral berharga 5 sin dollar (RM12.20). Kami berbekalkan roti dan tuna bersama air mineral.
Tentang solat pula, tiada tempat solat yang khusus di sini. Kami solat di Information Centre dan ruang yang diberikan untuk kami solat bercampur lelaki dan perempuan, manakala tempat wuduk pula di bilik air.
Sesiapa yang akan ke sini, ini beberapa nasihat saya:
1. Datang seawal pagi yang mungkin bermula pada pukul 10 pagi kerana ianya tutup pada pukul 7.00 malam.
2. Bermulalah di tempat yang paling jauh sekali kerana kebanyakkan orang mula memasuki tempat-tempat yang berdekatan dengan pintu masuk. Pada pendapat saya, bermula dengan Far far Away, Lost World, Ancient Egypt, Sci Fi City, New York, Hollywood dan Madagascar. Sila rujuk peta Universal Studios
3. Bawa bekalan makanan dan minuman yang secukupnya
4. Bawa baju hujan kerana terdapat dua tempat yang memerlukan pengunjung memakai baju hujan iaitu di Jurassic Park Rapids Adventure dan Waterworld. Juga bagi persiapan jika hujan. Baju hujan ada dijual di Jurassic Park dengan harga 2 sin dollar (RM4.88) tetapi jika boleh dapat lebih murah, silalah beli dahulu.
Di Jurassic Park Rapids Adventures
5. Jangan bawa beg yang terlalu besar kerana terdapat tempat yang tidak dibenarkan membawa beg masuk dan peti simpana beg sangat mahal iaitu 4 sin dollar (4 x RM2.44) bagi setiap 1 jam.
6. Solat Jama' di Information Centre yang berdekatan dengan pintu masuk utama Universal Studios yang terletak di Hollywood.
Kami berjalan di Universal Studios sehingga pukul 6.00 petang. Mungkin tiada kali kedua untuk memasuki tempat ini. Cukuplah hanya sekali.
InsyaAllah pada bulan September ini kami akan memasuki Disneyland Hong Kong pula.
berikut merupakan gambar-gambar kami di Universal Studio.
Terima kasih kepada Allah s.w.t kerana memberikan kami rezeki ini.
Sepanjang berada di Singapura saya berjaya menamatkan pembacaan buku Sutera Bidadari oleh Ramlee Awang Murshid.