Folk Art #3

Assalammualaikum w.b.t
Tinggal 3 hari lagi akan berakhirnya cuti sekolah.
Masih banyak kerja yang belum disiapkan.
Setibanya dari Singapura, saya dan suami terpaksa bergegas pulang ke Perlis bagi menziarahi Mak Teh suami yang sedang sakit.
Kemudian, suami pula jatuh sakit.
"Apabila berfikir tentang sekolah, kepeningan menjelma.
Apabila berfikir tentang lukisan, kegembiraan menjelma."
Saya minat mengajar, namun kerja-kerja pengkeranian memeningkan kepala saya.
Bagi saya, cara menghilangkan tekanan ialah melakukan Folk Art.
Sudah masuk 2 minggu saya tidak ke kelas Cikgu Laksmi.
Pada kelas seterusnya Cikgu akan mengajar saya melukis Bunga Tulip.
Tidak sabar rasanya.

Pada kelas pertama, saya diajar melukis bunga Daisy.
Setiap kali kelas, saya perlu menyiapkan satu projek.
Berikut merupakan projek bagi kelas pertama:

Kelas kedua dan ketiga ialah Bunga Raja Deli

Setiap kali kelas, saya perlu membawa sendiri alat-alat asas bagi melukis seperti warna, palette, berus dan lain-lain. Warna dan berus bagi melukis Folk Art agak mahal harganya.
Menurut Cikgu, warna arcylic yang terbaik ialah dari jenama Joe Sonja'sbuatan Australia atau Americana buatan UK. Cikgu menasihati supaya tidak membeli dari buatan China kerana ia boleh merosakkan berus. Manakala berus pula, beli berus Loew-Cornelll buatan Sri Lanka dan bukannya berus lukisan masa sekolah dulu.

Di Singapura, saya sempat membeli 2 lagi warna arcylic yang juga dari Australia.

Papan bagi melukis juga agak mahal. Ini disebabkan tidak banyak kedai yang menjual peralatan bagi melukis Folk Art. Bayangkan papan di bawah ini sahaja berharga RM15 di Craft Haven yang berlokasi di One Utama, Bandar Utama.

Di Singapura, terdapat satu kedai yang bernama SPOTLIGHT terletak di Plaza Singapura, Dobby Ghaut yang menjual pelbagai peralatan untuk projek seni. Papan sahaja terdapat lebih daripada 30 bentuk. Harga? tak perlu dikatakan mestilah lebih mahal dari Malaysia.

Di sebelah kedai Spotlight pula, terletaknya kedai Daiso yang umum tahu semua barangannya dibawa dari Jepun.
Jika di Malaysia, Daiso menjual semua barangannya dengan harga RM5, di Singapura ianya dijual dengan harga 2 sin dollar (RM4.88). Daiso di sini sangat besar dan produknya juga pelbagai. Saya membeli 6 papan bagi melukis Folk Art yang tiada di Daiso Malaysia.
Walaupun bentuknya tidaklah secantik papan di Spotlight ataupun Craft Haven, namun permukaannya tetap sama dan lebih besar. Paling penting murah.

Itu sahaja.
Minggu ini saya akan ke kelas Cikgu Laksmi.
Tulip oh Tulip.

0 comments:

Post a Comment


up