Raya

Assalammualaikum,
Raya kali ini sungguh bermakna apabila saya sekeluarga berpeluang menziarahi ramai saudara di Perak.
Saya merupakan cucu terakhir dalam keluarga abah saya. Sepupu-sepupu semuanya dah dewasa-dewasa belaka tetapi jarang ketemu disebabkan jurang yang cukup besar antara kami.
Kami ke Parit 5, Sungai Sumun untuk menziarahi Mak Ngah. Kemudian ke kubur arwah Atok, Nenek, Pak Olong dan Mak Teh.



Besoknya kami ke Bagan Datoh melawat sepupu abah, Pakcik Abu Hassan yang merupakan cikgu pencen dan kiranya senior veteren saya di UPSI. Beliau merupakan guru dari Maktab Perguruan Sultan Idris dan mempunyai kumpulan kugiran semasa menuntut di sana. Hahhahah....pemain drum tuh! Pakcik Hassan menunjukkan gambar kumpulan beliau yang diberi nama "The Hawks" sedang bergaya di pentas Dewan Suluh Budiman. Tergelak-gelak saya!. Pakcik Hassan masih smart dan sihat walaupun sudah berumur 64 tahun.



Kemudian kami singgah ke rumah Mak Uda. Penuhnya kawasan rumah Mak Uda dengan kereta anak-anaknya. Kesemua anak Mak Uda bekerja di KL dan barulah saya tahu ramainya saudara saya di KL. hahhahahha....jadi abah pun jemputlah mereka semua ke kenduri saya.



Saudara jauh akan bertemu di Majlis Perkahwinan saya. hehehhe..seperti Family Reunion.
Kemudian kami ke rumah Mak Olong dan seterusnya bersiap untuk pulang ke KL.
Perjalanan ke KL, kami singgah di Sekinchan untuk melawat saudara sebelah emak.
Emak saya sebenarnya berasal dari Bagan Serai. Kemudian Arwah Datuk berhijrah ke Sekinchan dan seterusnya ke Jengka kerana pada masa itu Felda baru dibuka untuk peneroka.
Mak merupakan orang Banjar.

Keturunan Abah pula berdarah Jawa + Rawa. Rawa merupakan suku sakat orang Negeri Sembilan. Tapi budaya dan adat Negeri Sembilan sudah lama ditinggalkan. Budaya Jawa sahaja yang masih kuat diamalkan oleh generasi Abah. Saya rasa generasi saya dah tak reti cakap Jawa atau mengamalkan adat Jawa. Antara adat Jawa yang diamalkan semasa generasi Abah ialah Upacara Pijak Tanah bagi anak yang mula mahu memijak tanah. Nasib depa semo tak cakap Jawa. Kalo cakap Jawa habis melopong jelah saya adik beradik!

Gembira rasanya dapat bertemu dengan ramai saudara. Pelbagai cerita lama diungkit dan sedara-sedara semuanya tergelak terbahak-bahak. Hahhaha...

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA KEPADA SEMUA PEMBACA.

Selamat Hari Raya kepada Syukrin yang seronok beraya di London! Seronoklah budak ni raya 2 minggu kat sana! Nak ketupat dan rendang dari London boleh?

Tanjong Malim

Assalammualaikum wbt,
Khamis yang lepas saya ke Jabatan Agama Islam Perak yang terletak di Ipoh.
Saya telah ter-hilangkan satu fail sijil saya yang turut terselitnya Sijil Kursus Pra-Perkahwinan yang merupakan syarat wajib untuk mengisi borang permohonan perkahwinan.
Alhamdulillah saya berjaya sampai ke Ipoh dan selamat pulang ke Kuala Lumpur.
Saya singgah di Tanjong Malim untuk melihat perubahan yang telah berlaku sejak saya meninggalkan Anak Kandung Suluh Budiman.

Mula-mula saya melalui jalan ke Proton City untuk melihat tapak kampus yang telah lama terbiar. Alhamdulillah, batu-batu merah sedang giat disusun menjadi bangunan Universiti. Dari Proton City sehinggalah kampus Aminuddin Baki dan Zaaba. Mungkin 10 tahun akan datang Kampus baru Universiti baru akan siap sepenuhnya. Kemudian saya masuk ke Pekan Tanjong Malim dan saya terus ke kedai mamak yang kerap dikunjungi saya semasa belajar dahulu. "Restoran Jalal". Saya singgah dan membeli 2 ketul ayam goreng berserta kuah ayam madu yang sememangnya saya rindu sangat!!

Apa yang mengingatkan saya dengan Tanjong Malim adalah makanannya. Pertama karipap sambal yang sedap sangat dijual di hadapan Balai Polis Tanjong Malim. Karipap yang dipotong dan diletak sambal ditengah-tengahnya...fuh....lambat jer datang gerai pakcik ni, memang kempunan sangat. Bulan puasa pula tidak dijual....KEMPUNANNYA..
Kedua Restoran Jalal. Ayam gorengnya dicampur dengan kuah madu fuiyooo.....sedap!! Tiap hari makan pun tak jemu. Bayangkan ayam besar + kuah madu + nasi yang banyak + sayur = RM4.80 . Memang berbaloi jika hendak dibandingkan dengan kebanyakkan kedai Melayu di kawasan Tanjong Malim.

Jika dahulu-dahulu zaman saya belajar di Tanjong Malim. KFC Pekan Tanjong Malim sebesar 1 lot kedai sahaja. Kini ia telah berkembang menakluki 2 lot kedai. Dan.....Pizza Hut telah wujud selang 1 lot dari KFC. Memang maju sedikit dari zaman saya.
Kemudian, jika dahulu pelajar atau penduduk Tanjong Malim yang berjalan kaki mahu ke Pekan, mereka perlu melalui Fly Over motosikal yang tinggi, tidak beratap dan sangat bahaya. Namun kini Jambatan Khas untuk pejalan kaki telah dibina.
Saya tidak sempat untuk memasuki kawasan Universiti disebabkan kelewatan untuk pulang ke KL. Betapa gembiranya belajar di Pekan kecil bernama Tanjong Malim. Walaupun ia bukanlah Pekan Moden namun Pekan ini sudah cukup memenuhi keperluan saya sebagai pelajar universiti.

Sekian....selamat berbuka puasa. =)

Diserang!!

Assalammualaikum,
akhirnya hari ini saya diserang oleh PKG untuk penggredan PSS.
Kemudian semasa penggredan diserang secara tiba-tiba oleh Pengetua, PK HEM dan 2 orang segak berkot yang merupakan Pegawai dari Jabatan Pelajaran JPS.

Dalam hati : Bagus juga korang datang, PSS tengah kemas dan baru boleh self-renovation dan korang semua termasuk Pengetua dan Pn Tham tak pernah masuk lihat lagi. hahahhahahah...

Kehadiran wakil dari PKG (Pusat Kegiatan Guru) sangat banyak membantu saya dalam pengurusan PSS. Selain memberi gred pada PSS, En. Shahrulnizam banyak memberikan cadangan bernas kepada saya untuk menaiktarafkan PSS sekolah. Terima kasih yang teramat banyak ditujukan kepada beliau. Beliau juga turut berjumpa Pengetua untuk mencadangkan beberapa perkara yang perlu ditambah di PSS. Terima kasih sekali lagi.

Tentang Pegawai dari JPS tiada apa yang nak diceritakan. Mungkin dia saja-saja nak melawat PSS.

Hari ini juga terdapat seorang guru pelajar dari Institut Perguruan di Johor sedang menjalankan ROS (Rancangan Orientasi Sekolah) di sekolah saya. Rancangan Orientasi Sekolah ini suatu program yang wajib dilakukan oleh pelajar guru sebelum menjalani praktikam. Beliau apa yer nama dia...lupa...merupakan pelajar program berkembar Kementerian Pelajaran Malaysia. Beliau 3 tahun belajar di Universiti Nottingham dan 1 tahun belajar pendidikan di tanah air.
Seronok juga dia ada...boleh borak-borak...hahahhaha...dia ini sama macam saya belajar Fizik di Universiti. Bezanya dia belajar Matematik tak peringkat tinggi di Universiti, saya pula belajar tinggi sikitlah sampai 5 semester. Saya tanya belajar Calculus tak? dia cam tak pernah dengar jer benda tu. Hahahah...tapi dia pun senasib seperti saya tidak diizinkan oleh KPM untuk melanjutkan pelajarn ke peringkat Master kerana terikat dengan kontrak penaja.

Saya bakal sibuk dengan beberapa perkara. Iaitu:
1. Menyediakan Kertas Peperiksaan Akhir Fizik & ICTL
2. Pengumpulan Data NILAM (guru NILAM cuti bersalin)
3. Persediaan Perkahwinan
4. Laporan Akhir Tahun Pusat Sumber

Mampu ker buat????

Penatnya~~

Assalammualaikum wbt,
Penat sungguh hari ini,
Mengemas, mengalihkan rak dan memperbaiki barangan di PSS sungguh memenatkan.
Kredit kepada pengawas PSS yang bertugas pada hari ini.
Aida, Shahidah, Terrisa dan Raja Shamil.
Saya dah ubah kedudukan beberapa rak di PSS.
Tidak terpikir pula nak menangkap gambar PSS tadi. Mungkin terlalu sibuk.

Perubahan yang dilakukan pada hari ini termasuklah:
1. Meletakkan meja diskusi
2. Mengalihkan rak Red Spot
3. Mewujudkan buletin tentang info H1N1
4. Menghias meja dan perabot di PSS
5. Mewujudkan Info Diraja

Fizik...ermmm..insyaAllah pada minggu hadapan saya akan mula mengajar bab HEAT.
Saya berharap sangat saya mampu menghabiskan silibus Fizik.
Pn Ratna sudah mula cuti bersalin dan kemungkinan besar sementara menunggu guru ganti, saya akan mengambil masa sejarah 4A untuk mengajar Fizik. Setiap masa perlu digunakan sebaiknya. Hari ini saya lebih kepada mengajar membuat pengiraan untuk Achimedes' Principle. Dalam bab Forces and Pressure, Achimedes' Principle-lah yang paling rumit dan memerlukan pemahaman serta pengiraan yang memungkinan kesalahan terjadi. Contohnya, saya dapati terdapat beberapa orang pelajar yang membuat kesilapsn semasa menukar unit cm kepada m.
Dan terdapat juga pelajar yang langsung tidak membuat latihan yang saya berikan.
Berlagak pandailah kiranya~~
Nanti dah nak periksa barulah terkinja-kinja nak belajar. memang saya malas nak layan.
Saya juga dapati terdapat beberapa pelajar yang sememangnya jenis malas nak tanya.
Selalunya orang yang sama sahaja akan datang ke saya untuk bertanya soalan yang kurang difahami.
Mungkin yang tidak tanya tu dah tahu. Tetapi saya teramat pasti ramai yang berlagak tahu daripada memang tahu.
Selagi anda-anda tidak cuba menyelesaikannya bagaimana anda tahu anda tahu atau tidak???
Adalah lebih baik kita belajar daripada kesilapan kerana kita akan berusaha untuk tidak melakukan kesilapan yang sama.
Saya jadi penat apabila perlu mengulang perkara yang sama. Bukannya tidak ajar. Kadang-kadang pelajar tidak bertanggungjawab atas pelajaran mereka sendiri. Akhirnya apabila mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan pasti mereka akan menyalahkan si pengajar. Kononnya pengajar tidak baguslah...itulah..inilah...orang lain pula yang perlu bertanggungjawab.

EMO pula hari ini. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya saya gembira kerana telah menyebarkan ilmu yang Allah pinjamkan kepada saya. Semoga pelajar saya mendapat ilmu itu dan menyebarkannya kepada orang lain pula.
Salam dan selamat malam.

Kemerdekaan

Assalammualaikum wbt,
Sudah masuk 12 hari kita berpuasa. Semoga puasa dan segala amalan kita di bulan yang penuh kenikmatan ini diterima oleh-Nya.
Sebenarnya saya seperti tidak dapat menerima kenyataan minggu ini minggu persekolahan. Mungkin kerana saya masih terasa dalam mood cuti.
Isnin yang lepas merupakan Hari Kemerdekaan yang ke-52 bagi negara Malaysia.
Alhamdulillah sambutan tahun ini tidaklah sesosial tahun-tahun lepas. Jika dibandingkan tahun sesudah ini, sambutan kemerdekaan penuh dengan konsert-konsert dan perhimpunan yang tidak mempunyai makna. Perkara sebegini hanyalah mengundangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Saya pernah membaca statistik kelahiran anak luar nikah yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam di Malaysia bahawa kebanyakkan anak luar nikah dilahirkan 9 bulan selepas sambutan Tahun Baru, Velentine dan Merdeka.
Terdapat segelintir individu mengambil kesempatan sambutan dengan membuat perkara yang haram di sisi ISLAM.
Saya juga masih ingat semasa saya ditemu duga untuk mendapatkan Biasiswa Kementerian Pelajaran Malaysia semasa di semesta 1. Kebetulan 2 hari sebelum proses temuduga merupakan Hari Kemerdekaan Negara.

Penemuramah telah bertanya kepada saya
"Bagaimanakah anda menyambut hari kemerdekaan?"

Saya dengan selamba menjawab kepada pertanyaan beliau
"Saya hanya duduk di bilik"

Beliau terkejut dan bertanya lagi
"Inikah caranya anda menyambut kemerdekaan?"

Saya pun dengan penuh yakin menjawab
"Perlukah saya menyambutnya dengan keluar dan menjerit merdeka, merdeka?
Bagi saya cukuplah sekadar berdoa supaya negara kita lebih makmur dan dilindungi Allah disamping bersyukur dengan segala nikmatNya."

Beliau dengan tidak puas hati terus menjawab
"Awak patut menyambutnya untuk menunjukkan rasa cinta awak kepada negara"

Saya pun jawablah lagi
"Setiap orang mempunyai cara yang tersendiri dan itulah cara saya menyambut kemerdekaan negara"

Selepas temu duga tersebut saya memang 100% ingat saya tidak mendapat biasiswa itu. tetapi dengan izin Allah, saya berjaya mendapatkan biasiswa tersebut.
Kurang patriotikkah saya?? Apa itu kemerdekaan?
Mungkin saya tidak patriotik kepada negara. Tetapi saya insyaAllah patriotik kepada agama saya.
Benarkah kita sudah merdeka??
Secara nyatanya ia kita merdeka, tetapi secara halus-mulusnya kita masih lagi belum merdeka.
Kita sedang dijajah secara tidak nyata dari segi ideologi, muzik, pemakaian dan pelbagai perkara lain. Kita sememangnya dijajah oleh orang Kafir yang telah berjanji untuk merosakkan iman orang Islam dengan cara apa sahaja.
Adakah kita benar-benar merdeka???
Jika kita merdeka mengapa kita masih mengamalkan cara hidup jahiliyyah???
Islam itu adalah satu cara hidup. Islam telah menggariskan segala-galanya. Islam itu mudah dan sempurna.
Semoga kita dapat mengamalkan cara hidup sebagai seorang muslimin dan muslimah yang sempurna.
Amin.

SELAMAT HARI KEMERDEKAAN KE-52 MALAYSIA

up