India #3

Kami solat jama' di Masjid Qutubuddin.
Pada sebelah petang, kami dibawa ke Jama' Masjid yang berada berhampiran dengan jalan pusat yang sibuk di Old Delhi, Chawri Bazar Road.
Masjid ini merupakan masjid yang terbesar dan terkenal di India yang dibina pada tahun 1656 AD oleh Sultan Mughal Shah Jahan, yang juga merupakan pembina bagi Taj Mahal.
Jama' Masjid yang juga beerti masjid Jumaat akan menjadi tumpuan semasa hari Jumaat bagi sembahyang Jumaat dan mampu menampung sehingga 25 ribu jemaah pada satu masa.
Terdapat juga beberapa khazanah yang ditempatkan di utara pintu masuk masjid, termasuklah al-Quran yang ditulis di atas kulit rusa.


Terdapat 3 pintu bagi memasuki kawasan masjid iaitu dari timur, utara dan selatan dan pintu masuk ini dibina menggunakan pasir baru berwarna merah. Setiap pintu masuk ini mempunyai anak tangga yang berlainan. Bumbung masjid dibina dengan 3 kubah dengan jalur-jalur selang hitam dan marmar putih. Terdapat 2 menara yang berketinggian 130 kaki berlorek dengan marmar putih dan pasir batu merah. Menara ini mempunyai 130 anak tangga.
Di bawah kubah masjid, terletaknya dewan utama solat dengan 7 pintu masuk. Lantai ruang solat diperbuat daripada marmar putih dan guli yang berwarna hitam yang berbentuk sejadah.

Di kawasan masjid, terdapat juga kolam bagi jemaah mengambil wudhuk dan dikatakan sangkar yang terdapat di penjuru kolam tersebut merupakan tempat di mana Rasulullah s.a.w pernah mengambil wudhuk. Menurut cerita penduduk di sekitar, semasa pembinaan masjid ini, Shah Jahan berharap agar pembinaan masjid ini mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t.
Semasa sedang tertidur selepas beribadat di Istananya iaitu Red Fort yang terletak tidak jauh dengan Masjid Jama', beliau telah bermimpi Rasulullah s.a.w sedang mengambil wudhuk di kolam kawasan masjid. Selepas terjaga dari tidur beliau terus menunggang kudanya menuju ke tempat seperti di dalam mimpinya dan beliau melihat terdapat tapak kaki. Dengan ini, beliau percaya bahawa Allah s.w.t. merahmati masjid yang dibinanya.
Kesan tapak kaki tersebut telah di ambil dan dijaga di salah satu tempat yang berada di pintu masuk kawasan masjid. Saya sempat memegang tapak kaki yang dikatakan merupakan tapak kaki Rasulullah s.a.w. Dikatakan apabila kita menyentuhnya, tangan kita akan berbau harum dan ianya memang betul. Namun, sama ada kisah ini benar atau tidak, hanya Allah s.w.t sahaja yang tahu.


Hari pertama tamat. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan tidak sukar untuk mencari makanan halal. Terima kasih Allah s.w.t

0 comments:

Post a Comment


up