Hari kedua ialah hari yang dinantikan.
Kami akan ke Agra di mana terletaknya salah satu 7 Wonders of the World, Taj Mahal.
Kami bangun seawal pagi. Jalan di Chuna Mandi Panj lenggang. Tidak seperti di sebelah malamnya yang sibuk. Pelajar sekolah sibuk untuk ke sekolah.
Kami bangun seawal pagi. Jalan di Chuna Mandi Panj lenggang. Tidak seperti di sebelah malamnya yang sibuk. Pelajar sekolah sibuk untuk ke sekolah.
Pemandu memberitahu perjalanan dari New Delhi ke Agra akan mengambil masa 6 jam. Kami melalui lebuhraya ke Agra namun, apabila hampir tiba di tol, kesesakan berlaku dan kenderaan lain memberitahu ada terjadinya tragedi tembak-menembak di tol yang bakal kami lalui. Hal ini disebabkan, pembayaran tol baru sahaja diperkenalkan dan bagi orang yang miskin, ia mengundang ketidakpuashatian.
Kami terpaksa berpatah balik dan mengambil jalan alternatif yang lain iaitu melalui kawasan perkampungan. Sepanjang perjalanan, saya melihat bagaimana cara hidup masyarakat India yang menjalankan aktiviti pertanian. Banyak rumah yang hanya separuh siap dan diperbuat daripada najis lembu. Jalan juga sangat kecil dan berlecah. Apa yang boleh saya katakan ialah perjalanan ke Taj Mahal amat mencabar.
Kami tiba agak lewat dan hari makin gelap. Selepas memakir kereta, kami terpaksa berjalan jauh menuju ke kawasan Taj Mahal. Bayaran sebanyak RM56 dikenakan bagi pengunjung luar. Kami tidak mempunyai banyak masa untuk menikmati keindahan Taj Mahal. Melangkah ke dalam kawasan Taj Mahal dan melihat keindahan seni binanya membuatkan saya kagum. Subhanallah, sungguh indah bangunan ini. Namun alangkah sedihnya ia dibina lebih besar daripada masjid yang hanya berjiran dengan Taj Mahal. Keadaan masjid di sebelahnya sungguh menyedihkan, tiada lampu dan imam terpaksa menyalakan lilin semasa kami ingin bersolat.
Keajaiban Taj Mahal boleh dirasai bermula dari pintu masuknya. Apabila saya menuju ke pintu pagarnya, seolah-olah Taj Mahal menjauhi saya. Dan apabila saya berundur sambil melihat Taj Mahal, ia seolah-olah mengejar saya. Mungkin disebabkan pantulan cahaya di pintu tersebut.
Taj Mahal juga merupakan bangunan yang paling simetri pada zamannya.
Menaranya pula dibina condong sedikit keluar bagi mengelakkan ia runtuh menghadap kubah utama Taj Mahal. Dinding-dinding Taj Mahal dipenuhi dengan ayat-ayat al-Quran yang dapat dilihat dengan jelas. Di pintu masuk taj Mahal terdapat ukiran ayat al-Quran dari surat Yasin.
Dikatakan juga pada zaman pemerintahan Mughal iaitu Shah Jahan, kolam air di hadapan Taj Mahal sentiasa panas dan semasa India dijajah oleh British, kolam tersebut telah dikaji dan orang British telah menjumpai seketul batu yang menyebabkan air kolam tersebut sentiasa panas. Batu tersebut telah diambil oleh orang British tersebut.
Dikatakan juga di atas kubah Taj Mahal mempunyai seekor kuda terapung dan ia juga telah dirampas oleh orang British bagi kajian mereka. Kuda tersebut terapung disebabkan oleh daya magnet yang telah digunakan semasa pemerintahan Shah Jahan. Pelbagai teknologi digunakan bagi membina Monumen yang indah ini, namun ia telah dirampas oleh penjajah.
Shah Jahan telah berjanji kepada isteri keduanya iaitu Mumtaz semasa isterinya sakit untuk membina sebuah lambang cintanya kepada isterinya. Taj Mahal ini dibina sebagai lambang cinta Shah Jahan kepada isterinya dan disinalah terletak makam kedua-dua suami dan isteri ini.
Di dalam Taj Mahal, makam Shah Jahan dan isterinya dipagari dengan batu jed yang dilubangkan dan dibentuk seumpama mahkota. Batu jed tersebut telah diukir menggunakan warna-warna tertentu dan apabila disuluhkan warna tersebut bercahaya.
Selepas monumen ini siap dibina, Shah jahan ingin membina sebuah lagi monumen seakan Taj Mahal namun ia mendapat tentangan hebat daripada rakyat dan anaknya sendiri. Bagi mengelakkan pembaziran, anaknya telah mengurungkan Shah Jahan di Istana Merah (Red Fort) yang terletak berdekatan dengan Taj Mahal. Shah Jahan hanya dapat meratapi Taj Mahal dari tempat kurungannya iaitu di salah sebuah menara di Red Fort sehinggalah beliau mangkat.
Taj Mahal akan kelihatan pada sebelah malam hanya apabila bulan penuh. Batu marmar yang merupakan bahan utamabagi membina monumen ini akan memantulkan cahaya bulan dan ia akan bersinar semasa waktu tersebut.
Sesungguhnya Taj Mahal merupakan sebuah monumen yang sangat hebat.
Kami berada di Taj Mahal sehingga gelap. Kemudian kami menuju ke Ajmeer.
0 comments:
Post a Comment